Rabu, 7 Oktober 2020 | 2:00pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Co-opbank Pertama (CBP), Mohd Nor Abd Razak - Foto fail NSTP
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Co-opbank Pertama (CBP), Mohd Nor Abd Razak - Foto fail NSTP

CBP sasar terajui perniagaan ar-rahnu

KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) merancang untuk menjadikan perkhidmatan pajak gadai Islam atau ar-rahnu sebagai produk utamanya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak, ketika ini perkhidmatan ar-rahnu hanya menyumbang sekitar satu hingga dua peratus sahaja kepada pendapatan bank koperasi itu.

Beliau berkata, selebihnya pembiayaan peribadi masih menjadi penyumbang tertinggi sehingga 90 peratus diikuti pembiayaan korporat dan koperasi dan ar-rahnu di kedudukan ketiga.

Justeru itu katanya, pihaknya menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan pendapatan daripada ar-rahnu kepada bank koperasi itu sebanyak 20-30 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Saya mahu menjadikan perkhidmatan ar-rahnu ini sebagai satu produk yang paling utama dan sinonim dengan CBP. Saya nampak dari segi impak COVID-19, kita boleh lihat ramai orang menggunakan perkhidmatan ar-rahnu atau pajak gadai konvensional selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat sebelum ini.

"Mengambil kesempatan ini, kami telah merangka strategi untuk membantu dan pada masa sama menjadikan CBP sebagai peneraju dalam perkhidmatan ar-rahnu.

"Malahan, susulan daripada impak pandemik ini, kami juga telah berjaya mencapai sasaran ditetapkan bagi ar-rahnu untuk tahun ini pada Julai lalu dan menjangkakan pendapatan produk ini meningkat 200 peratus menjelang akhir tahun ini," katanya kepada BH ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut Mohd Nor berkata, perkhidmatan ar-rahnu CBP bermula pada tahun 2015 dengan produk itu hanya ditawarkan di dua cawangan bank koperasi berkenaan sebagai projek perintis.

"Kini, semua 26 cawangan CBP di seluruh negara sudah menawarkan perkhidmatan ar-rahnu. Kami juga bakal membuka tiga lagi cawangan baharu iaitu masing-masing di Manjung, Perak; Setapak, Kuala Lumpur dan Tawau, Sabah.

"Malah, daripada tiga cawangan baharu ini, satu cawangan adalah khusus untuk ar-rahnu sahaja iaitu di Setapak yang akan menjadi projek perintis sebelum konsep ini dikembangkan lagi pada masa akan datang," katanya.

Tambahnya, Anggota Lembaga CBP juga baru-baru ini telah bersetuju secara dasar untuk meningkatkan kadar pembiayaan ar-rahnunya kepada RM350,000 berbanding RM200,000 sebelum ini.

"Ini adalah antara langkah kita untuk memastikan CBP mampu menjadi peneraju perkhidmatan ar-rahnu di Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

"Selain langkah ini, kita turut merancang untuk meningkat margin pembiayaan daripada 70-75 peratus ketika ini kepada 80 peratus pada masa akan datang.

"Langkah-langkah lain juga akan diumumkan tidak lama lagi termasuk penambahan lebih ramai kakitangan khusus untuk ar-rahnu," katanya.

Berita Harian X