Rabu, 15 Julai 2020 | 8:52pm
Ar-Rahnu X’Change
Ar-Rahnu X’Change

Bank Rakyat lancar kempen 'Emas 2 Kilo'

KUALA LUMPUR: Bank Rakyat, menerusi kempen 'Emas 2 Kilo', menyasarkan pertumbuhan pengeluaran pembiayaan Ar-Rahnu sebanyak 20 peratus dan pertambahan pelanggan di antara dua hingga lima peratus pada November 2020.

Menerusi kenyataan hari ini, Bank Rakyat berkata kempen itu dilancarkan semula selepas mendapat sambutan memberangsangkan pada tahun sebelum ini.

Kempen Emas 2 Kilo bermula 15 Julai sehingga 15 November ini bertujuan menggalakan lebih ramai pelanggan menggunakan khidmat Pajak Gadai-i Ar-Rahnu menerusi 185 cawangan Bank Rakyat dan Ar-Rahnu X'Change di seluruh negara.

Ia menawarkan 28 hadiah bernilai keseluruhan melebihi RM400,000 atau dua kilogram emas kepada pelanggan.

"Kempen ini dilancarkan bagi mempromosikan perkhidmatan Ar-Rahnu kepada masyarakat serta mendidik mereka bahawa emas adalah aset yang boleh dilaburkan untuk melonjakkan ekonomi individu dan berupaya menjana ekonomi negara," kata Bank Rakyat.

Ia berkata, perkhidmatan Ar-Rahnu bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan masalah keperluan aliran tunai segera, malah boleh menjadi alternatif pembiayaan yang mudah untuk diproses terutama bagi usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana.

Bank Rakyat mahu masyarakat mengubah persepsi mengenai perkhidmatan pajak gadai Islam yang bukan hanya untuk yang mempunyai masalah kewangan malah boleh dijadikan tempat simpanan aksesori emas yang selamat serta jauh daripada unsur riba yang dilarang Islam.

-BERNAMA

Berita Harian X