Jumaat, 21 Februari 2020 | 6:45pm

Untung bersih TM melonjak 400 peratus

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan keuntungan bersih RM632.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, melonjak lebih 400 peratus berbanding RM153.2 juta yang diraih tahun sebelumnya.

Peningkatan ketara itu antaranya disumbangkan oleh pertumbuhan pendapatan data sebanyak 16.9 peratus kepada RM2.86 bilion susulan permintaan menggalakkan dan kos operasi lebih rendah hasil pelbagai inisiatif pengoptimuman kos oleh kumpulan.

Bagaimanapun, pendapatan TM dalam tahun dikaji susut 3.3 peratus kepada RM11.43 bilion berbanding RM11.82 bilion tahun sebelumnya, berikutan sumbangan lebih rendah daripada semua kelompok produk kecuali data.

Syarikat telekomunikasi itu mencatatkan kenaikan perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) kepada RM1.57 bilion daripada RM64.6 juta tahun sebelumnya, jumlah tertinggi pernah direkodkan kumpulan sejak 2007.

TM turut mengumumkan dividen interim tunai sebanyak 10.0 sen sesaham atau RM376.6 juta dengan tarikh pembayaran pada 3 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin, berkata 2019 adalah tempoh transformatif buat kumpulan menyesuaikan diri dengan dinamik baharu pasaran dan penurunan hasil daripada segmen tradisional, sambil pada masa sama bersedia untuk lonjakan berikutnya dalam telekomunikasi kepada 5G.

Berdasarkan perkembangan itu, beliau berkata TM melihat peningkatan berterusan dalam asasnya meskipun wujud cabaran ke atas hasil di peringkat runcit.

“Inisiatif peningkatan prestasi kami terus membuahkan hasil, khususnya dari sudut kos. Selain itu, usaha pengoptimuman kos menyaksikan peningkatan jumlah kos terhadap hasil sebanyak 13.1 mata peratusan berbanding tahun lalu.

“Ini telah memberikan keuntungan lebih baik apabila EBIT merekodkan pertumbuhan tertinggi dicatatkan sejak tahun 2007.

“Dari aspek jumlah pelanggan jalur lebar, kami mencatatkan jumlah bersih pelanggan lebih tinggi bagi jalur lebar tetap suku-ke-suku iaitu 2.18 juta pelanggan, selari dengan Promosi Akhir Tahun bagi menambah dan mengekalkan pelanggan sedia ada,” katanya.

Mengenai prospek kumpulan untuk tahun ini, Noor Kamarul berkata, TM menjangkakan penurunan kecil dalam pertumbuhan pendapatannya.

Jelasnya, tekanan harga akan terus memberi kesan kepada prestasi syarikat itu, namun TM akan melakukan yang terbaik untuk memastikan pertumbuhannya sekurang-kurangnya tidak berubah dan tidak menjadi negatif.

Berita Harian X