Khamis, 14 November 2019 | 12:44pm
Malaysia Airlines akan mengurangkan kos komponen dan peralatan tidak kritikal sebanyak 15 peratus. - Foto hiasan
Malaysia Airlines akan mengurangkan kos komponen dan peralatan tidak kritikal sebanyak 15 peratus. - Foto hiasan

Malaysia Airlines kurangkan kos komponen tidak kritikal

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines akan mengurangkan kos komponen dan peralatan tidak kritikal sebanyak 15 peratus di bawah Program Pembangunan Vendor (VDP) menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).

VDP juga dijangka mengurangkan masa pemulihan dan membantu meningkatkan kecekapan operasi, kata Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Ahmad Luqman Mohd Azmi.

"Manfaat tambahan pemerolehan daripada sumber tempatan ialah Malaysia Airlines akan dapat mengurangkan pendedahannya kepada turun naik pertukaran mata wang asing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

VDP ialah program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana.

MoU itu dimeterai Ahmad Luqman bagi pihak Malaysia Airlines Group dan Ketua Setiausaha MED, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

"Malaysia Airlines adalah pemacu ekonomi penting bagi negara. Menerusi pemeteraian MoU dengan MED ini, kami juga dapat mewujudkan kesan pengganda dalam ekonomi domestik dengan membangunkan ekosistem ​​untuk vendor tempatan bagi menyokong perniagaan mereka," kata Ahmad Luqman.

Beliau berkata, VDP juga membantu memperkasa syarikat tempatan dengan memacu perniagaan mereka dalam industri penerbangan Malaysia, yang kebanyakan servisnya dilakukan oleh syarikat asing.

Menurut kenyataan itu, Malaysia Airlines akan berfungsi sebagai syarikat utama dan akan melaksanakan program itu bermula dengan perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan dan AeroDarat.

VDP mengetengahkan lima projek perintis di Malaysia Airlines, terutama dalam mendapatkan pembuatan bahan tambahan, permaidani, upholsteri tempat duduk, bahan pembersihan pesawat dan bahan kimia.

Berita Harian X