Sabtu, 9 November 2019 | 4:09pm

Perubahan ekosistem bantu kurangkan tarif elektrik

KUALA LUMPUR: Perubahan ekosistem industri pembekalan elektrik di bawah Dasar Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) 2.0 (2019-2025) berpotensi mengurangkan tarif elektrik pengguna.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada turun naik harga bahan api di pasaran global.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata kos bahan api kini menjadi komponen terbesar keseluruhan kos operasi penjanaan tenaga TNB, iaitu 70 peratus.

Katanya, cadangan kerajaan untuk memberi insentif kepada pengeluar tenaga supaya mencari jalan mendapatkan bahan api pada kos paling rendah mampu meningkatkan kecekapan kos operasi secara optimum.

“Dalam tarif elektrik, elemen paling asas adalah bahan api, namun harganya bukan dalam kawalan kita kerana apabila harganya naik maka tarif akan naik kerana surcaj dikenakan dan begitu sebaliknya apabila harga bahan api turun.

“Maka insentif itu adalah peluang untuk mengurangkan kos penjanaan tenaga supaya kami menguruskan penambahbaikan, mencuba inovasi dan mencapai kecekapan bagi mendapatkan bahan api.

“Ya, tarif mungkin lebih rendah (di bawah MESI 2.0) berbanding tidak melaksanakan MESI 2.0 kerana insentif ini dapat membantu kami mengoptimumkan usaha mengurangkan kos penjanaan tenaga supaya kadar terbaik dapat disalurkan kepada pengguna,” katanya dalam temubual eksklusif di sini, baru-baru ini.

Amir Hamzah berkata, TNB menjangkakan rizab margin industri elektrik negara akan melonjak seketika susulan pengoperasian janakuasa Jimah, SPG dan EDRA sebelum kembali ke paras lebih seimbang dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Katanya, penurunan ke paras lebih seimbang itu disebabkan peralihan daripada perjanjian pembelian kuasa (PPA) pengeluar tenaga bebas (IPP) di bawah MESI 2.0.

“MESI 2.0 akan meningkatkan penggunaan RE (tenaga boleh diperbaharui) di negara ini, maka pada masa depan janakuasa lama akan diganti oleh tenaga yang dijana daripada RE secara beransur-ansur.

“Saya juga meletakkan harapan tinggi kepada inisiatif Grid Tenaga ASEAN antara Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura (LTMS) dan kelak dengan penyertaan Indonesia. Inisiatif ini dapat menurunkan rizab tenaga dalam negara pada masa yang sama menjamin kestabilan bekalan tenaga di rantau ini.

“Kita boleh bergantung kepada negara lain atau meminjam tenaga daripada grid dan bagi negara yang boleh menghasilkan elektrik pada kos lebih murah boleh berkongsi manfaat tenaga kos lebih rendah dalam liputan lebih meluas kepada negara jiran,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - NSTP/Aziah Azmee
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. - NSTP/Aziah Azmee
Berita Harian X