Jumaat, 20 September 2019 | 5:56pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (dua dari kiri) pada sidang media pengumuman prestasi separuh tahun pertama 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin (dua dari kiri) pada sidang media pengumuman prestasi separuh tahun pertama 2019 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Liberalisasi tenaga, kedudukan PETRONAS tidak terjejas

KUALA LUMPUR: PETRONAS yakin kedudukannya dalam pasaran tenaga tidak terjejas susulan langkah terbaharu kerajaan meliberalisasi pembekalan gas bahan api penjana kuasa tenaga dengan pengenalan dasar Industri Bekalan Elektrik Malaysia (MESI) 2.0 (2019-2025) bermula 2021.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata PETRONAS sentiasa mengalu-alukan langkah sebegitu supaya dapat mewujudkan pasaran yang lebih cekap.

Sebagai peserta paling disegani dalam sektor LNG global, beliau berkata, PETRONAS kini memiliki kedudukan kukuh di peringkat antarabangsa dengan menerajui pasaran Jepun, Taiwan, Korea Selatan, dan China.

“Kami terbuka kepada liberalisasi pasaran sama ada gas atau LNG dan penjanaan kuasa. Susulan itu, PETRONAS sentiasa menyokong agenda kerajaan berdasarkan keupayaan kami bersaing dalam banyak pasaran terbuka.

“Untuk mewujudkan pasaran yang cekap dan bebas gangguan, maka kita perlu meliberalisasikan pasaran tenaga, kerana kita memerlukan pesaing bertaraf dunia untuk memantapkan kumpulan sebagai pesaing dalam liga antarabangsa,” katanya pada sidang media pengumuman prestasi separuh tahun pertama 2019 di sini, hari ini.

Selain PETRONAS, MESI 2.0 juga bakal meliberalisasi pembekalan bahan api arang batu apabila dilaksanakan menjelang suku kedua 2021 kelak.

Berita Harian X