Khamis, 19 September 2019 | 4:04pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak selepas melancarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bergambar bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo dan Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak selepas melancarkan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC), Putrajaya. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

TNB minat teroka perniagaan borong jalur lebar

PUTRAJAYA: Malaysia berpotensi menyaksikan kemunculan satu lagi peserta perkhidmatan borong jalur lebar kelajuan tinggi (HSBB) susulan minat Tenaga Nasional Bhd (TNB) memanfaatkan infrastruktur grid tenaganya untuk perniagaan borong HSBB di negara ini.

Bagi tujuan itu, pihak TNB sudah mengadakan perbincangan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bagi meninjau potensi dalam sektor itu selepas projek perintis sistem rangkaian HSBB infrastruktur teknologi gentian optik TNB di Jasin, Melaka.

Gobind berkata, projek perintis itu memberikan hasil menarik, sekali gus membuktikan TNB mampu berkecimpung dalam industri telekomunikasi negara menggunakan infrastruktur terbabit.

Jika keputusan itu dimuktamadkan pengurusan TNB kelak, katanya, syarikat utiliti itu boleh memainkan peranan sangat penting dalam membantu kerajaan mempercepatkan pengembangan infrastruktur telekomunikasi dengan cepat pada kos rendah.

“Infrastruktur TNB kini sudah tersedia dan liputan rangkaian mereka sangat luas seluruh Malaysia, bahkan saya juga dimaklumkan mereka sudah memulakan inisiatif terbaru di Melaka dengan memberikan perkhidmatan kepada 11,000 kediaman.

“Ada beberapa negeri lain yang turut terbabit dalam inisiatif mereka dan terpulang kepada keputusan mereka (pengurusan tertinggi) jika TNB melihat potensi memperluaskan perkhidmatan itu ke negeri lain.

“Ketika ini perkhidmatan jalur lebar ada dua jenis iaitu borong dan runcit, maka TNB melihat (potensi perniagaan) dari segi penyedia perkhidmatan jalur lebar secara borong,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas pelancaran Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP).

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, kerajaan akan mengambil kira kemampuan TNB untuk menjayakan inisiatif NFCP berdasarkan konteks keupayaan mereka ketika ini terbabit dalam menyediakan HSBB kepada kediaman di lokasi tertentu.

“Ya.. memang mereka boleh membantu kita menjayakan inisiatif NFCP ini seperti mana perkhidmatan satelit dan sebagainya asalkan dapat mengembangkan infrastruktur dengan cepat pada kos rendah.

“Bagi kementerian, NFCP ini adalah untuk mengembangkan infrastruktur ke seluruh negara jadi memang kita akan melihat apa yang TNB sedang lakukan sekarang ini,” katanya.

Berita Harian X