Selasa, 17 September 2019 | 2:33pm
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

Kerajaan buka pasaran tenaga

Oleh Che Wan Badrul Alias dan Mahanum Abdul Aziz

bhbiz@nstp.com.my

PUTRAJAYA: Kerajaan merancang untuk membuka pasaran tenaga di Malaysia yang akan menyediakan platform kepada penjana tenaga domestik melelong tenaga elektrik dijananya terus kepada peruncit seperti TNB dan peruncit alternatif bermula suku ketiga tahun depan.

Pengenalan itu bakal membawa Malaysia secara beransur-ansur beralih daripada perjanjian pembelian kuasa (PPA) dengan pengeluar tenaga bebas (IPP) kepada pasaran permulaan pasaran hibrid kapasiti tenaga dengan aktiviti lelongan pertama bermula 2029.

Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, berkata langkah membuka pasaran tenaga itu akan menyokong strategi pembukaan pasaran runcit yang mana peruncit berpeluang membeli tenaga terus daripada NEDA+.

Katanya, ia mewujudkan persaingan sihat dengan bidaan tenaga boleh dibuat setiap setengah jam pada harga termurah dan peruncit membeli elektrik daripada pasaran peruncitan tenaga untuk dijual terus kepada pelanggan.

“Apabila harga pasaran rendah, peruncit akan bertindak membelinya supaya dapat menawarkan harga lebih rendah kepada pelanggannya, persaingan ini memaksa peruncit besar, termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) turut menawarkan harga paling berdaya saing.

“Maka, dengan mewujudkan persaingan dan membenarkan pasaran bersaing, kita yakin semua insentif, penjimatan dan manfaat MESI 2.0 akan dapat disalurkan terus kepada pengguna.

“Namun, kita tidak dapat mencapai kecekapan kos kalau masih perlu bayar kapasiti, kerana itu kita perlukan masa membawa industri beralih ke pasaran kapasiti dan pasaran tenaga sepenuhnya.

“Sehingga 2045 baru kita dapat melihat pasaran borong sepenuhnya dengan tempoh 2029 hingga 2045 kita masih bergerak sebagai pasaran hibrid,” katanya pada temu bual eksklusif di sini, baru-baru ini.

Ketika ini PPA hanya membenarkan IPP menjual kapasiti jana kuasa mereka pada harga tetap kepada pembeli tunggal, iaitu TNB.

Mengulas lanjut, Bee Yin berkata, pelaksanaan sepenuhnya pasaran elektrik borong di negara ini mengambil sedikit masa memandangkan negara mempunyai margin rizab elektrik yang tinggi.

Justeru, katanya, kerajaan tidak akan mengeluarkan lagi IPP baharu, sebaliknya perjanjian pelengkap akan dimeterai dengan IPP sedia ada supaya pasaran dapat beralih kepada pasaran kapasiti dan pasaran tenaga.

“Kerajaan akan kekal menghormati PPA sedia ada membabitkan 25 IPP meskipun melangkah ke arah pelaksanaan pasaran elektrik borong pada masa depan,” katanya.

Pelaksanaan pasaran borong elektrik memperlihatkan Malaysia menjejaki Jepun dan Singapura yang mana pasaran borong pertama kali diperkenalkan bagi memastikan kecekapan dan kos lebih kompetitif.

Jepun membuka pasaran elektriknya pada 2016, sementara Singapura melancarkan sepenuhnya Pasaran Elektrik terbuka pada November tahun lalu.

Berita Harian X