Ahad, 1 September 2019 | 2:12pm
KETUA Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid (dua dari kanan) bersama pemenang Cabutan BSN SSP bagi bulan Julai 2019.
KETUA Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid (dua dari kanan) bersama pemenang Cabutan BSN SSP bagi bulan Julai 2019.

BSN cari pemenang 'Jutawan Merdeka'

KUALA LUMPUR: Salah seorang penyimpan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) bakal dinobatkan sebagai pemenang Cabutan Istimewa untuk Ogos 2019, sekali gus bergelar ‘Jutawan Merdeka’ 2019.

Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid, berkata ganjaran sebanyak RM1 juta untuk Cabutan Istimewa BSN SSP ditawarkan secara berterusan bagi setiap bulan bermula Januari 2019 dan jutawan bagi bulan Ogos 2019 atau ‘Jutawan Merdeka’ kini dicari.

Selain itu, katanya BSN tahun ini turut memperkenalkan ganjaran utama bernilai RM2 juta bagi pemenang Cabutan Istimewa bulan Disember 2019.

“Ganjaran besar ini adalah yang julung kali diperkenalkan oleh BSN dan institusi kewangan khas untuk penyimpan BSN SSP.

“Apa yang anda perlu lakukan adalah membuat simpanan minimum sebanyak RM3,000 untuk layak menyertai dan disenaraikan dalam cabutan ini.

“Bagaimanapun, untuk layak menyertai Cabutan Istimewa BSN SSP bulan Disember 2019, tempoh minimum simpanan BSN SSP adalah 90 hari sebelum tarikh cabutan pada 28 Disember 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain pemenang ganjaran Cabutan Istimewa BSN SSP, ia turut mengumumkan pemenang bagi Cabutan Khas Tempatan yang juga cabutan kali ketiga bagi tahun ini.

Seramai 13 orang pemenang daripada setiap negeri akan membawa pulang Hadiah Utama bernilai BSN SSP RM50 ribu, 195 orang pemenang Hadiah Pertama membawa pulang BSN SSP RM500 dan 650 orang pemenang membawa pulang BSN SSP RM100 bagi Hadiah Kedua.

Cabutan Khas Tempatan memberi peluang kepada pelanggan di setiap negeri untuk memenangi ganjaran hebat.

Pelanggan BSN SSP yang ingin menyertai cabutan ini mestilah berusia 12 tahun ke atas dengan simpanan minimum RM10.

Selain itu, BSN turut mengumumkan beberapa cabutan BSN SSP yang lain seperti Cabutan Bulanan iaitu Hadiah Utama BMW 318i dan Cabutan Khas Generasi Z dengan Hadiah Utama (Bulanan) BSN SSP RM10,000.

BSN turut meraikan pemenang-pemenang bagi Cabutan BSN SSP bagi bulan Julai, dengan Cabutan Istimewa BSN SSP RM1 juta dimenangi oleh Said Ismail dari Kelantan.

Sehingga Jun 2019, BSN SSP terus mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, yang mana lebih 3.59 juta orang penyimpan dicatatkan di seluruh Malaysia dengan simpanan lebih RM3.37 bilion.

Berita Harian X