Rabu, 28 Ogos 2019 | 5:53pm
Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatat keuntungan bersih RM422.5 juta bagi separuh pertama 2019. NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria.
Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatat keuntungan bersih RM422.5 juta bagi separuh pertama 2019. NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria.

Inisiatif optimum kos lonjak untung bersih TM

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) mencatatkan keuntungan bersih RM422.5 juta bagi separuh pertama 2019, meningkat 63.1 peratus berbanding RM259.1 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) kumpulan dalam tempoh dikaji meningkat kepada RM777.9 juta, daripada RM444.5 juta pada separuh pertama 2018, berikutan kos operasi lebih rendah hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pengoptimuman kos oleh kumpulan.

Bagaimanapun, pendapatan diraih syarikat telekomunikasi itu susut 4.1 peratus kepada RM5.55 bilion bagi tempoh dikaji, berbanding RM5.78 bilion sebelumnya, terutama disebabkan sumbangan lebih rendah daripada semua barisan produk kecuali perkhidmatan data.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin, berkata TM terus berdepan pelbagai cabaran pada separuh pertama 2019, namun usaha pengoptimuman kos kumpulan telah mula menunjukkan hasil dan akan meneruskan momentum berkenaan.

“Kumpulan akan mendepani cabaran terhadap pendapatan menerusi tumpuan yang lebih kukuh terhadap pelanggan.

“Kami juga akan terus berperanan sebagai rakan strategik Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang disokong oleh infrastruktur rangkaian TM yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan kewangan separuh pertama 2019 syarikat telekomunikasi itu di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi TM, Rosli Man dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Nor Fadhilah Mohd Ali.

Ditanya mengenai pelaksanaan 5G oleh TM, Noor Kamarul berkata, kumpulan sudah bersedia dari segi infrastruktur dan kini sedang menunggu pelancaran spektrum daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“(Pelaksanaan) 5G bergantung kepada spektrum daripada SKMM. Buat masa ini masih belum ada spektrum yang dikeluarkan lagi dan kami sedang menunggunya.

“Sebaik saja berjaya mendapat spektrum itu, kami akan terus menggerakkan pelaksanaannya,” katanya.

Mengenai langkah Tenaga Nasional Bhd (TNB) memasuki sektor telekomunikasi, beliau mengalu-alukan perkara itu dan berhasrat untuk bekerjasama dengan firma utiliti itu.

TNB pada September tahun lalu melaksanakan projek perintis penawaran khidmat jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) di Jasin menggunakan infrastruktur fiber optik miliknya.

Ia adalah sebagai langkah awal persediaan syarikat utiliti itu untuk menceburi perniagaan kesalinghubungan yang menyediakan prasarana gentian optik bagi HSBB.

Berita Harian X