Isnin, 29 April 2019 | 7:57am
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani. - Foto Mohd Yusni Ariffin
Ketua Eksekutif BSN, Datuk Yunos Abd Ghani. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Lebih 3.4 juta penyimpan BSN SSP setakat Mac 2019

KUALA LUMPUR: Lebih 3.4 juta penyimpan Bank Simpanan Nasional (BSN) Sijil Simpanan Premium (SSP) dengan jumlah simpanan RM3.33 bilion direkodkan sehingga Mac tahun ini.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Yunos Abd Ghani, berkata sebagai bank yang dimandatkan kerajaan untuk menggalakkan masyarakat Malaysia terutamanya golongan muda untuk menabung, BSN sentiasa memperkenalkan produk dengan ciri-ciri simpanan yang menguntungkan seperti BSN SSP.

“Sebagai inisiatif kami untuk terus menggalakkan orang ramai menyimpan, kami memperkenalkan cabutan baharu dengan jumlah ganjaran yang lebih lumayan khusus untuk penyimpan BSN SSP pada tahun ini.

“Ini juga bermakna, lebih banyak peluang dan lebih banyak ganjaran yang boleh dinikmati orang ramai di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan.

Orang ramai boleh merebut peluang untuk mendapat kadar keuntungan menarik melalui BSN SSP Edisi Khas dan berpeluang untuk memenangi hadiah lumayan yang ditawarkan setiap bulan.

“Penyimpan BSN SSP juga berpeluang untuk memperoleh kadar keuntungan sehingga 2.5 peratus melalui kempen ini yang bermula dari 15 Disember 2018 hingga 30 Jun 2019,” katanya.

Berita Harian X