Selasa, 25 September 2018 | 5:11pm

HeiTech lancar Secure-X bantu kejayaan transformasi digital

KUALA LUMPUR: Penyedia perkhidmatan sistem teknologi komunikasi maklumat (ICT), HeiTech Padu Bhd (HeiTech) melancarkan Secure-X, tawaran terbaharu untuk perniagaan Perkhidmatan Keselamatan Terurus.

Penyelesaian Secure-X menyediakan keselamatan siber moden dan perkhidmatan terurus kepada organisasi di negara ini.

Naib Presiden Eksekutif HeiTech yang juga Ketua Eksekutifnya HeiTech Managed Services Group, Abdul Halim Md Lassim berkata penyelesaian itu ditawarkan kepada organisasi di negara ini termasuk pihak kerajaan dan perusahaan.

“Ia bagi mencapai matlamat transformasi digital mereka dengan menawarkan nilai daripada teknologi rangkaian hari ini di tengah-tengah persekitaran yang semakin kompleks,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Secure-X akan diperkenalkan semasa Anugerah, Persidangan dan Pameran Cyber Security Malaysia ke-10 (CSM-ACE 2018) yang dianjurkan oleh CyberSecurity Malaysia bermula 24 hingga 28 September ini.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata pihaknya menjadikan acara berkenaan sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan perkhidmatan keselamatan siber terurusnya dalam industri keselamatan siber.

“Malaysia kini bergerak menuju revolusi transformasi digital, didorong oleh aspirasi kerajaan untuk mendigitalkan ekonomi, rakyat, dan infrastruktur.

“Untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, Malaysia bertekad untuk memperoleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh dengan memberi tumpuan khusus kepada ekonomi digital.

“Bagi mencapai aspirasi itu, keselamatan siber memainkan peranan penting dalam transformasi digital negara, menjadikan Malaysia sebagai salah satu daripada tiga negara teratas di rantau Asia Tenggara yang dijangka menyumbang 75 peratus kepada bahagian pasaran perkhidmatan siber menjelang tahun 2025.

“Malaysia sedang rancak mengusahakan transformasi digital dan ekonomi digital dalam pelbagai bidang seperti sektor pembuatan, perkhidmatan hingga ke minyak dan gas, yang membuat pelaburan besar untuk mendapatkan penyelesaian yang mampu memberikan penyelesaian siber yang boleh diharap dan meningkatkan produktiviti,” tambahnya lagi.

Justeru, beliau mengharapkan teknologi dan penyelesaian Secure-X yang ditunjukkan di CSM-ACE 2018 akan membantu industri mengubah operasi mereka dan mendapatkan beberapa manfaat transformasi digital yang membawa kepada peningkatan keselamatan siber dan perniagaan.

“Perkhidmatan keselamatan terurus Secure-X merangkumi pencegahan, pengesanan dan pemulihan yang meliputi sokongan menyeluruh dengan operasi berasaskan fokus tahap perkhidmatan kepada pelanggan kami.

“Teras penyelesaian terdiri daripada Pengurusan Kerentanan, Pengurusan Ancaman Pintar, Pengurusan Pematuhan dan Perundingan.

“Teras perkhidmatan pula terdiri daripada pelbagai lapisan keselamatan dari peranti titik hujung, sekuriti perimeter sehingga tahap aplikasi dan pematuhan keselamatan bersama kepakaran dalam setiap bahagian masing-masing,” katanya.

Berita Harian X