X
Selasa, 28 Ogos 2018 | 9:10pm

DNeX dapat kontrak pasang kabel di Indonesia

KUALA LUMPUR: Dagang NeXchange Bhd (DNeX) melalui anak syarikatnya, DNeX Telco Services Sdn Bhd telah dianugerahkan subkontrak pemasangan kabel gentian optik laut untuk Telkom Infra di Indonesia bernilai AS$6.3 juta (kira-kira RM25. 8 juta).

Kontrak itu telah diberikan oleh Pt Bina Nusantara Perkasa, syarikat konsortium yang berfungsi sebagai kontraktor utama projek.

"Di bawah projek itu, DNeX akan bertanggungjawab untuk reka bentuk, pembinaan dan pemasangan kira-kira 700 kilometer kabel gentian optik untuk Matanusa dan SMPCS Patara sebagai sebahagian daripada Sistem Kabel Gerbang Global Indonesia.

"DNeX akan bekerjasama dengan Kokusai Cable Ship Co Ltd dari Jepun dalam projek itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Projek yang akan bermula pada September itu dijangka siap dalam 131 hari.

DNeX awal hari ini menandatangani perjanjian untuk projek berkenaan dengan Pt Bina Nusantara Perkasa di Jakarta, Indonesia.

Pada majlis itu, DNeX diwakili oleh Timbalan Pengerusi Eksekutif, Datuk Samsul Husin dan Mohd Ismail Khan Wazir Khan, Ketua Pegawai Eksekutif DNeX Telco Services.

"Kami sangat teruja diberi peluang untuk melaksanakan pemasangan kabel gentian optik laut di Indonesia. Berdasarkan pengalaman kami dalam melaksanakan inisiatif berskala besar, kami yakin dapat memenuhi keperluan projek ini," kata Samsul.

Beliau berkata, projek itu merupakan pengembangan strategik bagi penawaran IT dan e-Perkhidmatan syarikat berkenaan dan dicapai melalui pengetahuan teknikal yang baik dari DNeX yang sentiasa dipacu oleh teknologi.

"Walaupun ini adalah sumbangan perniagaan baru kepada kami, kami benar-benar memanfaatkan set kemahiran kejuruteraan dan telekomunikasi yang sudah wujud dalam syarikat daripada pengalaman masa lalu," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X