Selasa, 31 Julai 2018 | 6:16pm
Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. - Foto Salhani Ibrahim
Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin. - Foto Salhani Ibrahim

PETRONAS perkukuh program pembangunan vendor

KUALA LUMPUR: PETRONAS melancarkan skim pembangunan vendor baharunya, dikenali sebagai VDPx di bawah Program Pembangunan Vendor (VDP) sedia ada untuk dilaksanakan dengan kerjasama peserta industri utama tempatan.

Pelancaran skim pembangunan vendor itu adalah sebahagian daripada inisiatif pihaknya untuk melonjakkan kebolehan syarikat tempatan dalam industri minyak dan gas di negara ini.

Di bawah skim VDP baharu ini, sejumlah 18 organisasi merangkumi enam Kontraktor Pengawalan Petroleum (PAC) dan 12 syarikat sokongan industri minyak dan gas (OGSE) akan mengikut jejak VDP Petronas bagi mendapatkan akses kepada lebih ramai vendor tempatan seterusnya meluaskan manfaatnya kepada industri dan negara.

Bagi melaksanakan skim berkenaan, organisasi yang mengambil bahagian akan disokong dari aspek pembangunan perniagaan, pengurusan kewangan, teknologi maklumat dan informasi (ICT) dan teknikal oleh tujuh agensi antaranya Sirim Bhd; MIMOS Bhd; Institut Keselamatan dan Kesihatan Negara (NIOSH) dan Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp).

Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata adalah menjadi komitmen pihaknya untuk memupuk usahawan tempatan mengatasi halangan untuk meneroka industri minyak dan gas.

"Kami juga mahu mencipta sekumpulan vendor yang boleh menjana nilai. Amat penting untuk mengukuhkan ekosistem industri melalui pembangunan vendor yang mampan, lebih-lebih lagi dalam persekitaran perniagaan semasa dan mencabar.

"VDPx adalah evolusi kepada VDP sedia ada dan ia dicipta bagi melanjutkan kemampuan pembangunan dalam industri minyak dan gas di samping menyumbang kesan pengganda yang akan memberi manfaat kepada ekonomi dan industri," katanya.

Program itu dilancarkan pada majlis khas meraikan pembabitan aktif Petronas selama 25 tahun dalam membangunkan vendor tempatan sejak 1993.

Ia dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking.

Turut berlangsung adalah pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU) antara PETRONAS dan organisasi yang mengambil bahagian.

Antara organisasi yang terbabit termasuklah ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.; Hess Exploration and Production Malaysia B.V.;Murphy Sarawak Oil Co., Ltd; Perbadanan Urusan Kejuruteraan dan Limbungan Brooke; Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd dan Serba Dinamik Holdings Bhd.

Sementara itu, Darell dalam ucapannya berkata kementerian akan memastikan VDP terus menerima sokongan dari segi latihan, pembinaan kapasiti, pembangunan dan galakan produk serta promosi pasaran bagi vendor Bumiputera.

"Vendor mempunyai akses kepada dua program di bawah Rancangan Malaysia ke-11 iaitu Geran Pengkomersialan dan Penyelidikan (GPPV) dengan peruntukan sebanyak RM30 juta serta Program Pembangunan Kapasiti bagi Vendor (PPKV) dengan peruntukan sebanyak RM31 juta," katanya.

Ditubuhkan pada 1993, VDP Petronas telah membantu 99 syarikat tempatan untuk meneroka industri dan dianugerahkan kontrak bernilai lebih daripada RM8.3 bilion

Berita Harian X