Ahad, 30 Julai 2017 | 7:27pm
NAIB Presiden Kanan, Jabatan Audit BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah (kiri); Naib Presiden Kanan, Jabatan Kewangan BSN, Noor Azmi Jaafar (dua dari kiri); Naib Presiden Kanan, Jabatan Operasi Peruncitan Kredit BSN, Suhaimi Mohamad (kanan) dan Naib Presiden Kanan Jabatan Peruncitan dan Perniagaan Komuniti​ BSN, Datuk Mearia Hamzah (dua dari kanan) bergambar bersama Pemenang BSN SSP bulan Jun, Roslan Sehan dari Kuala Lumpur​ (tengah) pada sesi cabutan BSN SSP di Kuala Lumpur.
NAIB Presiden Kanan, Jabatan Audit BSN, Jay Khairil Jeremy Abdullah (kiri); Naib Presiden Kanan, Jabatan Kewangan BSN, Noor Azmi Jaafar (dua dari kiri); Naib Presiden Kanan, Jabatan Operasi Peruncitan Kredit BSN, Suhaimi Mohamad (kanan) dan Naib Presiden Kanan Jabatan Peruncitan dan Perniagaan Komuniti​ BSN, Datuk Mearia Hamzah (dua dari kanan) bergambar bersama Pemenang BSN SSP bulan Jun, Roslan Sehan dari Kuala Lumpur​ (tengah) pada sesi cabutan BSN SSP di Kuala Lumpur.

BSN unjur pendeposit SSP meningkat pada Q2

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menjangka dapat menambah jumlah pendeposit sijil simpanan premium (SSP) pada separuh kedua 2017 berikutan ekonomi yang lebih baik.

Naib Presiden Kanan dan Ketua Perniagaan Runcit dan Komuniti BSN, Datuk Mearia Hamzah berkata, pada separuh pertama 2017, pendeposit BSN meningkat kepada 2.8 juta membabitkan nilai berjumlah RM3.26 bilion, berbanding 2.62 juta (RM3.02 bilion) yang dicatat dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

"Kami melihat jumlah pendeposit untuk SSP meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Lantaran itu, kami memperkenalkan kategori baharu khusus bagi menggalakkan golongan belia berumur 12 hingga 17 tahun menyertainya.

"BSN berharap untuk mendapat lebih ramai pendeposit pada separuh kedua, terutama ketika setiap orang mula menyimpan selepas Ramadan dan Aidilfitri," katanya selepas majlis mengumumkan pemenang bulanan cabutan "12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan" BSN SSP di sini.

Kempen "12 juta ringgit, 12 jutawan, 12 bulan" bertujuan menyemai amalan menyimpan dalam kalangan pelanggan.

Penyimpan yang mempunyai minimum RM10 dan ke atas lebih daripada sehari berpeluang memenangi kereta mewah serta hadiah lain melalui cabutan bulanan berkenaan.

Mearia berkata, BSN mempunyai beberapa produk simpanan bagi seperti Giro, deposit berjangka (konvensional dan Islam) serta SSP.

"Kami mahu wujudkan kepelbagaian kepada pelanggan yang menyimpan duit mereka dengan kami untuk pelbagai tujuan.

"Di samping beberapa produk simpanan baharu, bahagian pembangunan produk BSN sedang berusaha untuk menambah baik produk semasa kepada pelanggan," katanya.

BSN menawarkan hadiah keseluruhan SSP bernilai RM17.7 juta tahun ini.

Ciri-ciri utama khusus SSP BSN termasuk patuh syariah, hadiah dikecualikan cukai dan terdapat pelbagai saluran untuk menyimpan seperti melalui cawangan, ATM CDM, ejen bank, perbankan Internet MyBSN serta SMS.

Pada majlis sama, BSN juga meraikan pemenang cabutan istimewa bagi Jun yang dimenangi Anizah Abd Hamid dari Pahang yang membawa pulang RM1 juta; pemenang cabutan bulanan iaitu Roslan Sehan dari Kuala Lumpur yang memenangi kereta Mercedes C200 dan pemenang cabutan remaja - kategori khas iaitu Fong Ka Hou dari Pahang yang memenangi BSN SSP RM10,000. - BERNAMA

Info:

BSN SSP tawar hadiah bernilai RM17.7 juta tahun ini

Berita Harian X