Jumaat, 2 September 2022 | 3:02pm
Antara pembeli berpotensi pada perkongsian CORE Residence @ TRX di Singapura, baru-baru ini - Foto ihsan CORE Precious
Antara pembeli berpotensi pada perkongsian CORE Residence @ TRX di Singapura, baru-baru ini - Foto ihsan CORE Precious

CORE Residence @ TRX dapat sambutan pembeli Singapura

SINGAPURA: CORE Precious Development Sdn Bhd (CORE Precious) optimis dapat mencapai sasaran untuk menjual semua unit pembangunan hartanah mewah pegangan bebasnya, CORE Residence @ TRX menjelang akhir 2023 sebelum penyerahan hartanah.

Hartanah berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan pembeli hartanah Singapura ketika acara perkongsian pertama hartanah itu diadakan di luar negara baru-baru ini.

CORE Precious adalah usaha sama antara China Communications Construction Group (CCCG), salah satu daripada syarikat Fortune Global 500 dan WCT Holdings Bhd, syarikat kejuruteraan dan pembinaan terkemuka Malaysia serta pemaju hartanah.

Syarikat itu telah mengadakan dua acara perkongsian untuk CORE Residence @ TRX baru-baru ini, dengan lebih 120 tetamu hadir di Ekspo dan Pusat Konvensyen Sands.

Acara berkenaan dihadiri oleh pemilik rumah dan mereka yang memandang positif ke arah masa depan pasaran hartanah Kuala Lumpur.

"Berdasarkan sambutan yang telah kami capai semasa acara itu, Kuala Lumpur terus menjadi pasaran hartanah yang menarik untuk pembeli asing kerana harga mampu miliknya dari segi harga setiap kaki persegi, lokasi strategik dan kebolehcapaian dengan perkhidmatan pengangkutan bersepadu.

"Dengan itu, CORE Residence yang terletak di daerah kewangan Tun Razak Exchange menarik minat bakal pembeli kerana ia menawarkan kualiti hartanah yang menarik," kata Pengerusi dan Pengarah Urusan CORE Precious, Zhang Bao dalam satu kenyataan.

Zhang berkata, dengan sambutan yang menggalakkan itu, CORE Precious akan terus menganjurkan lebih banyak acara perkongsian di luar negara untuk CORE Residence @ TRX pada masa hadapan.

Beliau berkata, sebagai bukti, pihaknya mempunyai pembeli asing dari lebih 20 negara dan wilayah di seluruh dunia.

"Dengan itu, kami menyasarkan untuk mencapai kadar pengambilan 100 peratus sebelum penyerahannya menjelang akhir 2023," katanya.

Terletak di hab daerah kewangan yang akan datang, Tun Razak Exchange, CORE Residence @ TRX terdiri daripada tiga menara pangsapuri servis.

Unit yang dibina adalah antara 624 kaki persegi hingga 1,022 kaki persegi dan ia mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.4 bilion.

Sebagai pembangunan kediaman pertama di Tun Razak Exchange, CORE Residence @ TRX akan menetapkan asas untuk gaya hidup premium mewah bagi lokasi berkenaan.

Kediaman berkenaan dilengkapi dengan ruang tamu dan reka bentuk dalaman kelas pertama yang menekankan pencahayaan semula jadi serta pengudaraan dengan lantai panoramik.

CORE Residence @ TRX adalah hartanah pegangan bebas mewah yang dibangunkan di atas tanah seluas 0.66 hektar di Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sebagai projek kediaman pertama di TRX, pembangunan itu berada pada kedudukan yang baik untuk menjadi mercu tanda kehidupan global untuk profesional dan pengamal kewangan yang akan tinggal dan bekerja di daerah perniagaan Kuala Lumpur.

Terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur City Centre (KLCC), di persimpangan antara Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tun Razak, Core Residence @ TRX disokong oleh infrastruktur dan ketersambungan yang sangat baik termasuk stesen MRT terbesar, MRT Interchange, akses ke Lebuhraya MEX dan Terowong SMART.

Berita Harian X