Khamis, 15 September 2022 | 3:11pm
Kai Wai (empat dari kiri) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Najmuddin Jemain (dua dari kanan) bersama-sama kakitangan SP Setia merasmikan Setia Ecohill Walk Mall di Semenyih -NSTP/Amirudin Sahib
Kai Wai (empat dari kiri) dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Najmuddin Jemain (dua dari kanan) bersama-sama kakitangan SP Setia merasmikan Setia Ecohill Walk Mall di Semenyih -NSTP/Amirudin Sahib

Pelaburan hartanah perkukuh pendapatan SP Setia

SEMENYIH: Pemaju hartanah, SP Setia Bhd, menyasarkan sumbangan daripada segmen pelaburan hartanahnya meningkat kepada 30 peratus menjelang 2025 berbanding hanya 10 peratus ketika ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Choong Kai Wai, berkata sumbangan daripada segmen itu akan meningkat dengan ketara pada akhir tahun depan menerusi pembukaan hotel Shangri-La di Melbourne, Australia.

"Ketika ini, pendapatan berulang kami banyak disumbangkan daripada pusat beli belah Setia City Mall, Mercu 2 di KL Eco City, Setia Walk Mall di Puchong dan terkini daripada pusat beli belah terbaharu, Setia Ecohill Mall di Semenyih.

"Sasaran 30 peratus ini terpaksa disemak semula dan dianjakkan ke tahun 2025 berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak 2020 dan akan berusaha untuk mencapainya kerana pendapatan berulang adalah antara enjin yang memacu syarikat ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas majlis pembukaan pusat beli belah keempatnya, Setia Ecohill Mall di sini, hari ini.

Setia Ecohill Mall yang siap dibina sepenuhnya pada Disember 2021 direka bentuk dengan mengambil ilham daripada Grand Canyon di Amerika Syarikat.

Pusat beli belah setinggi empat tingkat dengan keluasan 280,000 kaki persegi (kps) itu akan menempatkan pelbagai jenama terkenal termasuk Lulu Hypermarket sebagai penyewa utama.

Ia adalah salah satu daripada tiga komponen dalam pembangunan komersil bersepadu pertama di Semenyih di atas tapak berkeluasan 7.1 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM900 juta.

Dua lagi komponen ialah 243 unit pejabat dan kedai komersil yang telah siap dibina pada suku pertama 2021 iaitu Setia Ecohill Walk dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM265 juta dan dua blok apartmen servis setinggi 40 tingkat yang dijangka akan dilancarkan pada 2024.

Dalam pada itu, Kai Wai berkata, SP Setia menjangkakan pasaran hartanah tempatan untuk terus memulih pada tahun ini.

Pihaknya juga yakin untuk mencapai sasaran jualan RM4 bilion pada tahun ini.

"Selepas pandemik, ramai pembeli beralih untuk membeli rumah bertanah dan semua produk hartanah bertanah kami terjual dengan baik. Setakat ini semua produk kami terutama yang berharga di bawah RM700,000 habis terjual," katanya.

Kumpulan hartanah itu kini dipacu 47 projek yang sedang dijalankan dengan baki tanah sebanyak 2,816.8 hektar, sementara GDV berjumlah RM120.88 bilion setakat 30 Jun 2022 disokong jualan belum dibil berjumlah RM8.71 bilion, yang memberikan keterlihatan pendapatan dalam jangka pendek hingga pertengahan.

Berita Harian X