Jumaat, 26 Ogos 2022 | 2:13pm
Sime Darby Property Bhd
Sime Darby Property Bhd

Kenaikan OPR tak jejas jualan Sime Darby Property

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd melihat impak kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ketika ini adalah terkawal terhadap jualan hartanahnya, disokong permintaan kukuh terhadap kediaman berkualiti dengan lokasi yang strategik.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican, berkata meskipun berdepan persekitaran mencabar, pemaju hartanah terkemuka tempatan itu berjaya mencatatkan jualan yang utuh sebanyak RM1.9 bilion pada separuh pertama tahun kewangan 2022.

Beliau berkata, jumlah jualan yang dicatatkan itu mewakili kira-kira 73 peratus daripada sasaran jualan sebanyak RM2.6 bilion untuk tahun ini.

Katanya, jualan belum dibil syarikat juga meningkat kepada RM3.4 bilion setakat Jun 2022 berbanding RM1.8 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu, sekali gus memastikan keterlihatan pendapatan yang kukuh pada masa depan.

"Prestasi separuh pertama Sime Darby Property yang amat menggalakkan memberikan kami keyakinan untuk mengatasi sasaran jualan bagi tahun kewangan 2022 sebanyak RM2.6 bilion, disokong oleh pelancaran baharu membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.8 bilion.

"Kami juga akan menyaksikan lebih banyak perkembangan baharu yang menarik pada separuh kedua tahun ini.

"Ini termasuk pelancaran Battersea Power Station di United Kingdom pada Oktober dan perkembangan berterusan Dana Pembangunan Perindustrian kami melalui usaha sama dengan LOGOS Property untuk mewujudkan aliran pendapatan berulang baharu, sejajar dengan strategi jangka panjang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media secara maya mengumumkan prestasi kewangan separuh pertama tahun kewangan 2022 Sime Darby Property, semalam.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, Sime Darby Property juga komited menyiapkan projek hartanahnya mengikut jadual tahun ini meskipun berdepan isu kekurangan tenaga pekerja dan kenaikan harga bahan binaan.

Beliau berkata, pihaknya telah bekerjasama secara rapat dengan subkontraktor dalam memastikan projek yang dirancang dapat disiapkan mengikut perancangan dengan memastikan tenaga kerja yang mencukupi untuk projek yang dilaksanakan.

Katanya, pihaknya berjaya menyerahkan lima projek mengikut tempoh yang ditetapkan pada separuh pertama tahun ini dan menyasarkan tujuh lagi projek akan diserahkan menjelang akhir tahun ini.

"Kami berusaha keras untuk menangani isu ini (kekurangan tenaga kerja) dan kami jangka dalam satu hingga dua bulan ini akan dapat membawa masuk pekerja dan sebelum akhir suku keempat kami dapat mempercepatkan kemajuan projek," katanya.

Sime Darby Property mencatatkan jualan sebanyak RM1.9 bilion untuk enam bulan berakhir 30 Jun 2022, meningkat 48 peratus berbanding RM1.3 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Pemaju hartanah itu juga mencatatkan pendapatan dan keuntungan sebelum cukai masing-masing sebanyak RM1.1 bilion dan RM229 juta, meningkat 0.5 peratus dan 40.9 peratus, sementara keuntungan selepas cukai dan

kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat sebanyak 75.3 peratus kepada RM156.6 juta.

Berita Harian X