Isnin, 22 Ogos 2022 | 1:25pm
Gambar hiasan.- NSTP/ROHANIS SHUKRI
Gambar hiasan.- NSTP/ROHANIS SHUKRI

Permintaan ruang pejabat lebih baik tahun ini

KUALA LUMPUR: Kadar pemulihan dalam hartanah berkaitan pejabat akan terus bertambah baik tahun ini seiring dengan peningkatan aktiviti ekonomi dan sentimen perniagaan yang bertambah baik berikutan peralihan negara ke fasa endemik, demikian kata Knight Frank Malaysia.

Perunding hartanah global bebas itu dalam Sorotan Hartanah Separuh Pertama 2022 (REH) yang dikeluarkannya menunjukkan pada masa ini terdapat minat yang diperbaharui dalam ruang kerja bersama memandangkan ia memberikan penghuni pilihan yang sangat fleksibel untuk meningkatkan atau menurunkan skala operasi mereka bergantung pada keupayaan mereka.

Dalam kaji selidik membabitkan prestasi pasaran hartanah di seluruh Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu itu menunjukkan model kerja bersama juga menarik dari segi keberkesanan kos dan rangkaian.

Pengarah Eksekutif Kanan Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank Malaysia, Judy Ong, berkata bekalan terkumpul ruang pejabat di Lembah Klang berada pada kira-kira 111.4 juta kaki persegi setakat separuh pertama 2022 berikutan siapnya Affin Tower @ TRX, The Stride Strata Office dan UOB Menara 2 di KL City dan Blok G Empire City di Selangor.

Beliau berkata, menjelang separuh kedua 2022, 10 lagi bangunan pejabat dijadualkan siap - enam terletak di KL City dan dua setiap satu di KL Fringe dan Selangor.

"Walaupun cabaran yang semakin meningkat dalam pasaran pejabat, kadar penghunian keseluruhan ruang pejabat binaan khas di KL City meningkat kepada 67.2 peratus pada separuh pertama 2022 berbanding 66.0 peratus pada separuh kedua 2021.

"Begitu juga, permintaan penghunian di KL Fringe juga lebih tinggi sedikit pada 86.8 peratus (separuh kedua 2021: 86.1 peratus). Bagaimanapun, kadar penghunian keseluruhan di Selangor menurun sedikit dalam tempoh dikaji kepada 74.1 peratus (separuh kedua 2021: 74.6 peratus)," katanya dalam satu kenyataan.

Pengarah Eksekutif Pejabat Strategi dan Penyelesaian Knight Frank Malaysia, Teh Young Khean, berkata

terdapat beberapa pengumuman penting berkaitan pejabat semasa tempoh dikaji, termasuk pembelian Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh TIME dotCom Bhd di tengah Kuala Lumpur baru-baru ini dengan harga RM62 juta.

Beliau berkata, hartanah yang dibeli itu dijangka akan digunakan semula menjadi pusat data kerana ia terletak hanya satu blok dari Menara AIMS (pusat data utama TIME yang telah diduduki sepenuhnya).

Sementara itu, sejajar dengan perpindahan ke ibu pejabat baharu di Menara IQ di Tun Razak Exchange (TRX) dan komitmen terhadap model Masa Depan Kerja (FOW), HSBC Malaysia, telah beralih kepada model kerja hibrid.

Dalam tempoh dikaji, Air Liquide melancarkan ibu pejabat baharunya untuk operasi Malaysia di 1Power House di Bandar Utama, Petaling Jaya manakala Sunway Bhd, melancarkan ruang kerja Corporate Suite@19, yang mana adalah sebahagian daripada transformasi AS$60 juta (RM251.2 juta) hotel lima bintang utama kumpulan itu, Sunway Resort.

Pejabat Gred A pelan terbuka akan mempamerkan hampir 3,000 meter persegi ruang kerja pelan terbuka, yang terbesar di Bandar Sunway.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Knight Frank Pulau Pinang, Mark Saw, berkata di Pulau Pinang, bekalan pejabat sedia ada yang dibina khas (milik persendirian) di pulau itu direkodkan pada 6.9 juta kaki persegi (suku keempat 2021: 7.2 juta kaki persegi), yang mana angka itu lebih rendah sebanyak 3.6 peratus berikutan pengkategorian semula oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).

Beliau berkata, permintaan sewa bangunan pejabat terpilih di George Town kekal stabil, antara RM2.80 kaki persegi hingga RM5.00 kaki persegi sebulan.

Di Johor Bahru pula, bekalan terkumpul ruang pejabat binaan khas persendirian berjumlah 8.4 juta kaki persegi pada suku pertama 2022, lebih rendah sebanyak 0.6 peratus berbanding suku pertama 2021 sejumlah 8.5 juta kaki persegi berikutan pemansuhan satu hartanah yang tidak lagi memenuhi definisi pejabat binaan khas kerana penggunaannya yang dominan untuk tujuan lain.

Pengarah Bersekutu Knight Frank Johor, Tan Lih Ru berkata, menurut NAPIC, Johor Bahru mempunyai bekalan pejabat masuk kira-kira 2.5 juta kaki persegi.

Di Sabah pula, walaupun keseluruhan kadar penghunian merosot, pejabat binaan khas terpilih terus menerima pertanyaan daripada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat yang lebih besar yang ingin mewujudkan jejak pejabat di Kota Kinabalu.

Pergerakan penyewa yang ketara semasa tempoh dikaji termasuk kemasukan Taichung Commercial Bank dan MST Golf (unit runcit) ke dalam Plaza Shell, serta kemasukan Kumpulan Kibing ke Menara MAA, kata Pengarah Eksekutif, Knight Frank Sabah, Alexel Chen.

Mengulas tinjauan sektor pejabat, Pengarah Urusan Kumpulan Knight Frank Malaysia, Sarkunan Subramaniam, berkata terdapat minat yang luar biasa untuk bangunan pejabat yang menerima teknologi hijau yang diperakui oleh Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) yang bukan saja menyokong agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030, tetapi juga memenuhi kelayakan untuk insentif cukai.

Beliau berkata, bagi terus memacu atau mengekalkan penghunian, tuan tanah sedang menaik taraf spesifikasi bangunan dengan mengutamakan kesihatan dan keselamatan serta menawarkan pengaturan pajakan yang lebih fleksibel.

Katanya, walaupun permintaan untuk ruang dijangka meningkat dengan lebih ramai pekerja kembali ke tempat kerja fizikal secara beransur-ansur dan apabila lebih banyak organisasi mengukuhkan perancangan tempat kerja mereka untuk menetapkan sasaran yang lebih jelas untuk kemasukan semula pejabat, kadar sewa dan tahap penghunian bangunan pejabat di Lembah Klang dijangka kekal di bawah tekanan dalam jangka pendek.

"Ini disebabkan oleh ketidakpadanan yang semakin meningkat dalam penawaran dan permintaan dan apabila lebih banyak organisasi, terutamanya syarikat multinasional (MNC), menerima model kerja hibrid," katanya.

Berita Harian X