Isnin, 18 Julai 2022 | 1:03pm
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan yang juga Pengerusi Perbadanan NS, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek (enam dari kanan) bersama Pengarah Multiplex Development, Datuk Lee Chi Loon (enam dari kiri) ketika majlis pecah tanah rumah mampu milik di Mantin, Negeri Sembilan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan yang juga Pengerusi Perbadanan NS, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek (enam dari kanan) bersama Pengarah Multiplex Development, Datuk Lee Chi Loon (enam dari kiri) ketika majlis pecah tanah rumah mampu milik di Mantin, Negeri Sembilan.

Multiplex, Perbadanan NS bangunkan rumah mampu milik

MANTIN: Multiplex Development Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan anak syarikat kerajaan Negeri Sembilan, Perbadanan NS bagi membangunkan projek perumahan mampu milik dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM220 juta.

Projek membabitkan 800 unit kediaman teres setingkat itu ditawarkan pada harga bermula RM80,000 hingga RM359,000.

Pengarah Multiplex Development, Datuk Lee Chi Loon, berkata projek yang dibangunkan di atas seluas 24.63 hektar milik Perbadanan NS itu dimajukan akhir tahun ini dan dijangka siap menjelang 2026.

"Projek ini bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi tempatan, malah ia akan memberikan peluang pembelian kepada individu yang berpendapatan rendah," katanya kepada media selepas majlis pecah tanah projek rumah mampu milik di sini, hari ni.

Ia disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan yang juga Pengerusi Perbadanan NS, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek; dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Arul Kumar Jambunathan.

Projek rumah mampu milik sepenuhnya itu ditawarkan merangkumi 160 unit kediaman jenis RMM-A yang ditawarkan pada harga RM80,000: 120 unit RMM-B RM250,000; dan 520 unit RMM-C yang dianggarkan berharga sekirar RM359,000.

Projek berkenaan juga terletak di lokasi strategik di Mantin iaitu berhampiran Sekolah Rendah Mantin dan University Linton.

Ia turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, tadika, taman permainan, balai Raya, kolam takungan banjir dan loji rawatan kumbahan.

Sementara itu, Mohamad Rafie berkata, kerajaan amat serius dan berusaha menyediakan kemudahan perumahan mencukupi, berkualiti dan selesa kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

"Kerajaan negeri melalui Perbadanan NS juga berhasrat membangunkan lebih banyak perumahan baharu di Parcel B, Smart Country kawasan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV2.0) seluas sekitar 1,011.7 hektar.

"Dianggarkan sebanyak 25,000 unit akan dibina membabitkan 12,500 unit rumah mampu milik.

"Ia akan membabitkan pembinaan mengikut kategori Dasar Perumahan Negeri Sembilan iaitu 20 peratus jenis rumah Type A, 15 peratus Type B Dan 15 peratus Type C. Paling penting ini bakal mewujudkan sekitar 5,000 unit jenis Type A berharga RM80,000 seunit," katanya.

Berita Harian X