Jumaat, 24 Jun 2022 | 3:38pm
Pengerusi REHDA Kuala Lumpur, Ra Adrina Muztaza pada sidang media WCSC 2022 di Petaling Jaya, hari ini -NSTP/ Fariz Iswadi Ismail
Pengerusi REHDA Kuala Lumpur, Ra Adrina Muztaza pada sidang media WCSC 2022 di Petaling Jaya, hari ini -NSTP/ Fariz Iswadi Ismail

REHDA cari jalan kurangkan kos bina rumah

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) sedang bekerjasama dengan kerajaan untuk menangani masalah kenaikan kos yang dihadapi pemaju.

Pengerusi REHDA Kuala Lumpur, Ra Adrina Muztaza, berkata pemaju tidak boleh mengawal faktor luaran seperti kenaikan harga bahan binaan yang sedang meningkat ketika ini.

Namun, katanya REHDA bekerja rapat dengan kerajaan supaya kos lain seperti kos penyumbang yang perlu disediakan sewaktu pembinaan projek serta kos pematuhan dapat dikurangkan.

"Kami sedang bekerja bersama kerajaan untuk mencari kaedah mengurangkan kos-kos ini supaya penjimatan daripada pengurangan ini dapat dipindahkan kepada pengguna.

"Dari segi kemampuan pengguna untuk membeli rumah, saya berpandangan ia perlu dilihat dalam ekosistem secara keseluruhan, bukan hanya pada harga rumah semata-mata tetapi juga keupayaan pembeli untuk mendapatkan pembiayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Antarabangsa ke-13 mengenai Bandar Mampan Bertaraf Dunia 2022 (WCSC 2022) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Penganjur WCSC 2022, Chan Jin-Wy.

WCSC 2022 akan diadakan pada 13 September 2022 di Hotel Royale Chulan Kuala Lumpur bertemakan 'KL2040: Ke Arah Masa Depan Bandar yang Boleh Didiami'.

Mengulas mengenai persidangan itu, Jin-Wy berkata, program Habitat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk Ketahanan Bandar ialah keupayaan sistem bandar bertahan dan pulih dengan cepat daripada kesan ancaman, selain mengekalkan kesinambungan fungsinya.

Beliau berkata, objektif program itu adalah untuk menyediakan alat yang boleh dipercayai kepada kerajaan untuk menilai dan menambah baik daya tahan bandar terhadap kesan pelbagai ancaman, termasuk yang berkaitan dengan perubahan iklim.

Selain itu, katanya ia turut menambah baik asas kepada pembuat keputusan untuk melaksanakan perancangan, pembangunan dan tadbir urus bandar.

"Oleh itu, sistem bandar yang berdaya tahan perlu inklusif, boleh disesuaikan dan berterusan supaya teratur untuk menjadikannya lebih inklusif, selamat, berdaya tahan dan mampam.

"Selanjutnya, Kuala Lumpur turut bersedia untuk memulakan hala tuju dasar perancangan yang penting melalui 'Rancangan Banda Raya Kuala Lumpur 2040' baharu.

"Melangkah ke hadapan, Kuala Lumpur dan bandar utama lain perlu merancang dan menyediakan pelan tindakan yang komprehensif untuk menghadapi cabaran normal baharu antaranya dari segi perubahan iklim, gangguan teknologi dan perubahan demografi.

"Ia bagi terus membina masa depan bandar yang berdaya tahan dengan kualiti hidup yang baik untuk rakyat," katanya.

Berita Harian X