Khamis, 5 Mei 2022 | 2:45pm
Pembangunan Bandar Sri Sendayan
Pembangunan Bandar Sri Sendayan

Matrix Concepts sasar jualan RM1.2 bilion

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Matrix Concepts Holdings Bhd menyasarkan jualan hartanah baharu RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2023.

Pengerusinya, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin, berkata sasaran itu boleh dicapai bersandarkan keadaan ekonomi yang mula pulih, di samping pembukaan semula sempadan negara.

Katanya, ia turut didorong oleh kadar pengambilan kukuh terhadap hartanah dibangunkan syarikat itu, khususnya di perbandaran Bandar Sri Sendayan.

"Kami menunjukkan daya tahan, terutama tempoh dua tahun kebelakangan ini apabila bukan sekadar berjaya mengharungi pandemik, malah turut berkembang pesat. Ia dibuktikan oleh angka jualan dan prestasi kewangan yang kukuh.

"Kami menjangkakan sumbangan pendapatan daripada pembangunan kedua Australia yang habis terjual, M Greenvale. Usaha niaga di Indonesia pula berjalan lancar dengan pembangunan Menara Syariah adalah menggalakkan, dijangka siap pada penghujung tahun kewangan 2023," katanya, baru-baru ini.

Mengenai perkembangan projeknya di luar negara, Mohamad Haslah berkata, pembangunan M Greenvale yang terletak di pinggir bandar Melbourne, Australia dijangka siap bulan ini.

Menurutnya, syarikat juga akan melancarkan pembangunan susulan yang dipanggil 333 St Kilda di Melbourne pada pertengahan tahun ini.

"Pembangunan bercampur 12 tingkat bernilai A$80 juta (RM253 juta) ini akan menjadi pembangunan terbesar kami di Australia setakat ini dan bakal meningkatkan populariti St Kilda sebagai destinasi pinggir bandar yang digemari di Melbourne," katanya.

Matrix Concepts berada di landasan tepat untuk mencapai tahap sebelum pandemik apabila mencatat jualan hartanah baharu lebih baik kepada RM998 juta untuk tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.

Jualan yang dicatatkan dalam tempoh dikaji itu 15.3 peratus lebih tinggi berbanding RM865.3 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Pencapaian jualan hartanah baharu itu bersamaan dengan 83.2 peratus sasaran setahun penuh kumpulan iaitu RM1.2 bilion.

Berita Harian X