Khamis, 21 April 2022 | 9:49am

Unit OCR bangunkan projek hartanah RM1.5 bilion

KUALA LUMPUR: OCR Avenue Sdn Bhd (OCRASB), anak syarikat tidak langsung OCR Group Bhd, memeterai perjanjian usaha sama dengan Magna Ecocity Sdn Bhd (MESB) untuk mendanai dan melaksanakan pembangunan projek hartanah bercampur dengan jangkaan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.5 bilion.

Menurut OCR, tanah pegangan pajak berukuran kira-kira 80,937 meter persegi yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam, Selangor itu akan dibangunkan secara berfasa menjadi pembangunan bersepadu meliputi ruang e-dagang, pejabat komersial, unit runcit serta pangsapuri berperkhidmatan.

"Buat masa ini, pembangunannya masih di peringkat awal perancangan. Justeru, terlalu awal untuk menganggarkan kos pembangunan kasar," jelas OCR dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Ia menambah, usaha sama itu akan memberi peluang untuknya memperkukuh pendapatan kumpulan.

Pembangunan di bawah usaha sama itu akan dibiayai menerusi dana dalaman OCR dan/atau pinjaman, jelasnya.

"OCRASB mempunyai budi bicara mutlak sepenuhnya dalam perancangan, pembinaan, pengurusan projek dan penjualan keseluruhan projek dan pembangunan," tambahnya.

Usaha sama itu dijangka tidak menjejaskan modal saham terbitan dan pegangan oleh pemegang saham utama syarikat kerana ia tidak membabitkan penerbitan sebarang saham biasa baharu, menurut OCR.

-BERNAMA

Berita Harian X