Khamis, 7 April 2022 | 8:02pm
Gagasan Nadi Cergas Bhd
Gagasan Nadi Cergas Bhd

Gagasan Nadi Cergas bina 10,000 rumah mampu milik

KUALA LUMPUR: Gagasan Nadi Cergas Bhd merancang untuk membina lebih 10,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun akan datang bagi memenuhi permintaan di Malaysia.

Ia akan dimulakan dengan pembangunan sebanyak 2,800 unit rumah pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Gagasan Nadi Cergas dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu telah melancarkan sebanyak 1,260 unit projek Rumah Idaman di Bukit Jelutong, Shah Alam, hari ini yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM304 juta.

"Projek itu dimulakan dengan sokongan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) untuk menyediakan rumah mampu milik kepada penduduk di Selangor," katanya.

Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada suku kedua 2022 dan projek itu dijadualkan siap pada suku keempat 2025.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas, Wan Azman Wan Kamal berkata projek rumah mampu milik di Bukit Jelutong disasarkan kepada keluarga dalam golongan B40 dan M40.

Beliau berkata, projek itu seiring dengan matlamat kerajaan negeri Selangor untuk mempromosikan keterangkuman dan pemilikan ekuiti dalam kalangan rakyat.

"Sejak pendaftaran dibuka untuk projek itu, kami telah menerima pendaftaran tiga kali ganda lebih banyak daripada unit rumah yang ditawarkan.

"Petunjuk jelas bahawa permintaan untuk rumah mampu milik adalah berdaya tahan terutama di lokasi strategik seperti Bukit Jelutong, Shah Alam.

"Kami akan menggunakan sambutan yang baik ini bagi melancarkan pembangunan perumahan mampu milik kami yang seterusnya iaitu Idaman Elmina West di Shah Alam pada separuh kedua 2022," katanya.

Kumpulan itu berkata, pembangunan Idaman Elmina West terdiri daripada 1,500 unit kediaman mampu milik dengan GDV sebanyak RM370 juta, projek Rumah Idaman itu dijangka mula menyumbang secara positif kepada pendapatannya pada tahun kewangan 2022.

Projek rumah mampu milik yang lain kini dalam perancangan termasuk projek perumahan Rumah Selangorku di Serendah, dua projek perumahan mampu milik bertingkat tinggi untuk Paramount Corporation Bhd di Kemuning Utama dan Greenwood Salak Perdana serta projek Rumah Idaman untuk Kwasa Land Sdn Bhd di Kwasa Damansara.

-BERNAMA

Berita Harian X