Rabu, 6 April 2022 | 10:44am
Projek Liberty Arc @ Ampang dibangunkan oleh EcoFirst
Projek Liberty Arc @ Ampang dibangunkan oleh EcoFirst

EcoFirst terima manfaat rancangan pembangunan MRT3

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, EcoFirst Consolidated Bhd kini bersedia untuk melancarkan pelan induk yang diperbesarkan untuk perbandaran Ampang selepas tanah miliknya mendapat manfaat daripada pembangunan Transit Aliran Massa 3 (MRT3).

Simpanan tanah EcoFirst di Ampang terletak kira-kira 300 meter dari stesen Hill View di bawah cadangan pembangunan MRT3.

Manfaat besar simpanan tanah EcoFirst adalah pembangunan utamanya iaitu pembangunan bercampur Ampang Ukay, projek tujuh fasa di atas tanah seluas 87 ekar terletak di Ukay Heights.

Tanah itu dibeli sedekad lalu dan amat berhampiran dengan stesen Hill View yang bakal dibina kelak.

Pengarah Alternatif EcoFirst, Datuk Kenneth Teoh Seng Kian, berkata secara amnya, hartanah yang terletak berhampiran stesen MRT di Malaysia meningkat nilai kerana ia mudah untuk menghubungkan ke semua hab perniagaan dan hiburan utama di Greater Kuala Lumpur.

"Kami amat berterima kasih atas pembangunan MRT3. Ini adalah pencetus perubahan untuk kami. Sebagai pemaju hartanah, kami juga akan memainkan peranan dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang ekonomi.

"Kami sedang menyemak semula pelan induk syarikat. Ia akan menjadi lebih komprehensif kerana kami berhasrat untuk mengubah Ampang menjadi sebuah perbandaran premium pilihan dan berkembang sendiri sepenuhnya.

"Kami akan mendedahkan pelan induk ini pada suku kedua tahun ini," katanya dalam satu kenyataan.

Seng Kian menambah, pelan asal projek Ampang itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM4 bilion.

EcoFirst adalah syarikat hartanah bersaiz sederhana dengan simpanah tanah utama di Lembah Klang, terutama di Ampang, Sungai Besi, Shah Alam dan Damansara Damai.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, EcoFirst mengalih tumpuannya untuk menjual rumah mampu milik kepada M40 atau kumpulan kelas pertengahan Malaysia berikutan permintaan dalam segmen terbabit.

Pelan awal MRT3 akan merangkumi 30 stesen, di mana 10 daripadanya adalah stesen pertukaran MRT, transit aliran ringan (LRT) dan laluan KTM Komuter.

Pada 4 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan bahawa pembinaan MRT3 telah diluluskan oleh kerajaan.

Juga dikenali sebagai Laluan Lingkaran, Perdana Menteri berkata, keutamaan bagi MRT3 akan diberikan kepada kontraktor tempatan khususnya Bumiputera, bagi menjana peluang perniagaan dan pekerjaan.

Berita Harian X