Selasa, 29 March 2022 | 8:15pm
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi -NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi -NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Johor kenal pasti tanah untuk rumah mampu milik

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor sedang mengenal pasti tanah kerajaan di negeri ini yang bersesuaian untuk dibangunkan bagi tujuan perumahan mampu milik.

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ini kerana beliau mendapati masih ramai rakyat Johor mengadu kepadanya mengenai isu tanah yang dihadapi mereka.

"Insya-Allah, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, Datuk Ashaari Kasnan dan pegawai akan mengambil pendekatan secara tuntas berkenaan pemilikan tanah yang tertunggak dan membuat gerak kerja bagi menyelesaikan isu-isu ini dalam masa terdekat.

"Saya juga meminta pihak PTG untuk mengenal pasti tanah-tanah terbabit," kata Onn Hafiz menerusi hantaran dalam laman Facebook rasminya, hari ini.

Menurut beliau, isu pemilikan tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) khususnya membabitkan generasi kedua juga harus diberi perhatian segera.

"Semoga segala usaha untuk membantu bangsa Johor dipermudahkan. Allah Peliharakan Sultan. Allah Berkati Johor," katanya.

--BERNAMA

Berita Harian X