Selasa, 22 March 2022 | 6:12pm
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA)

Encorp, FELDA bekerjasama bangunkan perumahan di Perlis

KUALA LUMPUR: Encorp Bhd menandatangani satu perjanjian usaha sama (JV) dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) untuk bersama-sama menyiapkan pembangunan perumahan dan projek komersial di atas tanah FELDA di Padang Siding, Perlis.

Syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, ia mewakilkan anak syarikat milik penuhnya, Encorp Development Sdn Bhd (EDSB) sebagai pemegang lesen pembangunan dan apa-apa obligasi di bawah perjanjian berkenaan.

Projek itu mengandungi dua fasa dengan Fasa Satu di tanah seluas 10.12 hektar yang terdiri daripada pembangunan 158 unit rumah kos rendah, 66 unit rumah kos sederhana dan 17 unit rumah kedai.

Fasa Dua pula terletak di atas tanah seluas 8.5 hektar yang akan membabitkan pembinaan 102 unit rumah kos rendah, 112 unit rumah kos sederhana, 56 unit rumah berkembar dan 13 unit rumah kedai.

"FELDA membangunkan sebahagian daripada Fasa Satu tetapi pembangunan dan pembinaannya terpaksa ditangguhkan, FELDA kini berhasrat untuk memulihkan serta menyelesaikan pembangunan projek itu," katanya.

Sebagai pertimbangan kepada FELDA yang menyediakan tanah, kedua-dua pihak bersetuju untuk berkongsi keuntungan daripada projek itu berdasarkan nisbah 80 peratus kepada FELDA dan 20 peratus bagi Encorp untuk Fasa Satu.

Fasa Dua pula menyaksikan FELDA serta Encorp, masing-masing mendapat 75 peratus dan 25 peratus.

Encorp berkata, jumlah anggaran keuntungan pembangunan kasar untuk Fasa Satu dan Dua adalah RM31 juta, yang mana, keuntungan akan diagihkan berdasarkan nisbah perkongsian keuntungan.

Sementara itu, Encorp akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk membiayai semua kos pembangunan projek dengan anggaran jumlah kos mencecah RM57.32 juta dengan menggunakan dana dan/atau fasiliti pembiayaan yang dijana secara dalaman.

"Rasionalnya, JV itu akan menyediakan perkongsian strategik dan selaras dengan strategi perniagaan kumpulan untuk mengembangkan segmen pembinaannya.

"Pada masa yang sama FELDA dapat menyelesaikan dan menyampaikan skim perumahan yang mampu dimiliki bagi merangsang aktiviti sosial serta ekonomi di atas tanahnya," syarikat itu lagi.

-BERNAMA

Berita Harian X