Isnin, 14 March 2022 | 11:11am
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kiri) mendengar penerangan mengenai projek Ion Belian Garden daripada Pengarah Urusan NCT Group, Datuk Seri Yap Ngan Choy (tiga dari kiri)
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (dua dari kiri) mendengar penerangan mengenai projek Ion Belian Garden daripada Pengarah Urusan NCT Group, Datuk Seri Yap Ngan Choy (tiga dari kiri)

NCT Group bangunkan semula projek 'gajah putih'

KUALA LUMPUR: NCT Group of Companies (NCT Group) melalui anak syarikat hartanah miliknya, NCT Platinum Sdn Bhd membangunkan semula projek Ion Belian Garden, di Batang Kali, Selangor.

Ion Belian Garden terdahulunya dikenali sebagai projek Lembah Genting yang terdiri daripada 665 plot banglo membabitkan lima fasa.

Projek itu bagaimanapun terbengkalai hampir 17 tahun oleh pemaju terdahulu.

Pengarah Urusan NCT Group, Datuk Seri Yap Ngan Choy, berkata pembangunan semula itu memberikan kembali sinar kepada 200 mangsa yang menghadapi masalah projek terbengkalai sebelum ini.

Beliau berkata, berdasarkan rekod prestasi yang luas dalam segmen pemulihan ditambah dengan pengalamannya dalam arena hartanah, NCT Group diamanahkan untuk membangunkan semula projek ini.

"Projek ini katanya pembangunan semula berskala besar yang ketiga bagi NCT Group," katanya dalam satu kenyataan.

Majlis perasmian pembangunan semula Ion Belian Garden disempurnakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, baru-baru ini.

Sebelum ini, NCT Group menyempurnakan projek pembangunan perumahan terbengkalai terbesar Malaysia di Bandar Baru Salak Tinggi dan projek terbengkalai terbesar di Pahang yang dikenali sebagai Billion Court, Genting Highlands.

Ngan Choy berkata, pelantikan syarikat itu untuk memulihkan tanah seluas 105 ekar menunjukkan kekuatannya dalam bidang ini, terutama dengan pengalaman langsung dalam memulihkan beberapa projek terbengkalai terbesar di Malaysia.

"Kami menerima sambutan yang menggalakkan dengan kesemua 149 unit Rumah Selangorku habis dijual dalam masa lima minit selepas pelancaran.

"Ini menandakan permulaan yang sangat baik untuk Ion Belian Garden dan mengukuhkan nilai pembangunan kami," katanya.

Bakal menjadi perbandaran terbesar di bahagian utara Selangor, Ion Belian Garden terdiri daripada kediaman dan pembangunan komersial.

Fasa pertama Ion Belian Garden terdiri daripada lima presint iaitu Presint A,B,C,D dan E menempatkan 149 unit rumah teres satu tingkat, 1,009 unit rumah teres dua tingkat dan 9 unit rumah kedai dua tingkat.

Harga jualan setiap unit bermula daripada RM442,000 hingga RM676,200 untuk Presint A, RM512,000 hingga RM691,700 untuk Presint B, RM562,000 hingga RM646,400 untuk Presint C, RM250,000 hingga RM296,700 dan RM758,700 000 hingga RM801,300 masing-masing untuk Presint D dan E.

Ion Belian Garden dijangka siap pada 2025 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM 570 juta.

Berita Harian X