Jumaat, 25 Februari 2022 | 3:53pm
Sime Darby Property Bhd
Sime Darby Property Bhd

Sime Darby Property optimis prospek 2022

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd optimis dengan prospek bagi tahun kewangan 2022 dan mengunjurkan margin keuntungan kasar antara 20 peratus dan 25 peratus.

Kumpulan pembangunan hartanah itu juga menetapkan sasaran jualan RM2.6 bilion bagi tahun ini disokong oleh projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.8 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azmir Merican, berkata memandangkan pemulihan ekonomi susulan penarikan semula semua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada suku keempat 2021, keyakinan orang ramai terhadap ekonomi tempatan akan mendorong mereka membeli lebih banyak hartanah.

"Keputusan tahun kewangan 2021 memperlihatkan daya tahan syarikat dan kami yakin 2022 akan menjadi tahun pemulihan," katanya pada taklimat media maya mengenai keputusan tahun kewangan 2021 Sime Darby Property.

Bagi suku pertama 2022, syarikat itu merancang melancarkan hartanah dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM788.1 juta, terdiri daripada unit kediaman (817 rumah teres; 122 bangunan bertingkat), perindustrian (dua) dan unit komersial (satu) serta unit statutori (154).

Azmir berkata, syarikat itu mengambil langkah untuk meringan dan meminimumkan tekanan kos akibat daripada peningkatan harga bahan mentah dengan menambah baik produktiviti menerusi automasi dan teknologi, antara lainnya.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata Sime Darby Property menyasar untuk menjadi syarikat hartanah menjelang 2025 menerusi model perniagaan SHIFT25.

"Kami juga merancang membina keupayaan pengurusan aset pelaburan bangunan, menjana pendapatan sebagai pengurus aset yang memberikan kebolehkeramalan pendapatan," katanya.

Bagi tahun kewangan penuh yang berakhir 31 Disember 2021, keuntungan bersih syarikat melonjak 127 peratus kepada RM136.9 juta daripada kerugian bersih RM501.57 juta pada tahun kewangan 2020, manakala hasil meningkat 7.6 peratus kepada RM2.22 bilion daripada RM2.06 bilion pada tahun sebelumnya.

Ia merekodkan jualan memberangsangkan bernilai RM3 bilion pada tahun berkenaan mengatasi sasaran jualan kumpulan sebanyak RM2.4 bilion.

Kumpulan itu juga mencatatkan bilangan pelancaran baharu tertingginya sebanyak 3,594 unit hartanah dengan nilai pembangunan kasar RM3.7 bilion semasa tahun dikaji, merekodkan purata pembelian 87 peratus.

-BERNAMA

Berita Harian X