Jumaat, 25 Februari 2022 | 9:27am
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San
Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San

LBS sasar jualan hartanah RM1.6 bilion

KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd menetapkan sasaran jualan hartanah lebih tinggi tahun ini sebanyak RM1.6 bilion dan merancang 14 projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.77 bilion.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San, berkata syarikat melepasi sasaran tahun lalu apabila mencatatkan jualan hartanah RM1.58 bilion, 31 peratus lebih tinggi berbanding RM1.2 bilion yang ditetapkan.

"Ini adalah permulaan yang baik untuk 2022. Pembangunan hartanah kekal menjadi perniagaan teras kami.

"Kami yakin projek-projek ini bakal mendapat sambutan menggalakkan, berikutan lokasinya yang strategik. Ditambah dengan pelancaran suntikan

penggalak vaksinasi, apabila kerajaan tidak lagi bercadang untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

LBS mencatatkan keuntungan selepas cukai RM118.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, meningkat 76 peratus berbanding RM67.29 juta sebelumnya.

Prestasi yang kukuh itu didorong oleh usaha inovatif syarikat menerusi inisiatif pendigitalan dan pelancaran Laman Hartanah Virtual LBS, Kempen Raikan Rezeki Bersama LBS dan Kempen Digital Vacci-Nation Bonanza yang menerima maklum balas serta diterima baik oleh orang ramai.

Dari segi pembangunan hartanah yang menjadi penyumbang pendapatan utama LBS, pendapatan meningkat 26 peratus kepada RM1.3 bilion.

Ia didorong daripada kadar pengambilan yang baik dan kemajuan pembinaan yang stabil di projek yang sedang berjalan seperti Residensi Bintang Bukit Jalil, Taman Perindustrian Alam Awana, Cameron Centrum, KITA @ Cybersouth serta LBS Alam Perdana.

LBS mempunyai 18 projek pembangunan yang sedang berjalan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM5.3 bilion dengan simpanan tanah seluas 2,744 ekar setakat 31 Disember 2021, yang akan memastikan pengurusan syarikat aktif beroperasi untuk tempoh 10 tahun

akan datang.

Manakala, jualan belum dibil sebanyak RM2.3 bilion akan memberikan

pulangan secara positif untuk tempoh dua ke tiga tahun ke hadapan.

Mengulas prestasi cemerlang syarikat, Hock San berkata, tahun kewangan 2021 menjadi tahun yang luar biasa untuk pemaju hartanah itu.

"Jumlah keuntungan kami mencapai paras yang tertinggi. Oleh itu, saya berharap keputusan kewangan LBS ini akan menjadi satu kenyataan hala tuju syarikat dalam melangkah ke hadapan, di samping mengekalkan kepercayaan pemegang saham terhadap usaha LBS," katanya.

Hock San berkata, untuk 2022, LBS akan terus berpegang teguh pada tiga tonggak utama iaitu mampu milik, kesalinghubungan dan komuniti.

"LBS turut berazam untuk menyediakan pembangunan di lokasi strategik dan mengekalkan harga yang berpatutan bagi memenuhi keperluan pembeli rumah di samping memenangi kepercayaan mereka.

"Kami akan terus memantau pasaran dan melaksanakan strategi sesuai bagi memastikan operasi berjalan lancar serta kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan untuk 2022," katanya.

Berita Harian X