Rabu, 23 Februari 2022 | 6:21pm
Pembeli menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman rumah dalam keadaan semasa -NSTP/Aswadi Alias
Pembeli menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman rumah dalam keadaan semasa -NSTP/Aswadi Alias

Pinjaman rumah sukar lulus, menyewa jadi pilihan

KUALA LUMPUR: Kesukaran mendapatkan kelulusan pinjaman perumahan daripada bank menyebabkan orang ramai lebih memilih untuk menyewa ketika ini.

Pengurus Negara Malaysia PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my, Shylendra Nathan, berkata indeks permintaan sewa pada suku keempat 2021 merekodkan peningkatan ketara sebanyak 57.91 peratus tahun ke tahun.

Beliau berkata, indeks yang mewakili jumlah penyewa hartanah yang berminat berdasarkan pertanyaan ke atas unit sewaan yang disenaraikan di PropertyGuru.com.my itu dijangka akan terus meningkat pada suku semasa.

"Ini kerana pengguna akan terus mengalihkan tumpuan mereka daripada membeli kepada menyewa.

"Permintaan yang semakin meningkat bagi hartanah sewa mungkin disebabkan oleh keutamaan yang berubah dalam kalangan pencari rumah.

"Mereka menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pinjaman rumah dalam keadaan semasa kerana bank terus bersikap konservatif mengenai kelulusan pinjaman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nathan berkata, bakal pembeli rumah juga ketika ini terpaksa menangguhkan rancangan pembelian buat sementara waktu untuk mengatasi tempoh ketidaktentuan ekonomi ini.

Beliau berkata, mereka kini lebih selesa memilih untuk menyewa rumah bagi memenuhi keperluan naik taraf mereka atau meneruskan penambahbaikan gaya hidup yang mereka inginkan sementara membina semula keyakinan untuk membeli hartanah nanti.

Katanya, indeks permintaan jualan turut merekodkan penurunan mendadak sebanyak 36.56 peratus suku ke suku disebabkan kesukaran mendapatkan pembiayaan yang mencukupi.

Selain itu, katanya, tumpuan yang semakin meningkat pada pasaran sewa termasuk kesibukan pengguna dengan perayaan akhir tahun dan juga bencana banjir baru-baru ini turut menyebabkan pencari rumah menilai semula rancangan pembelian mereka.

"Secara keseluruhan, pasaran hartanah terus menunjukkan aliran peningkatan secara beransur-ansur.

"Indeks harga jualan, yang mengukur keyakinan penjual melalui harga permintaan yang disenaraikan di PropertyGuru.com.my, terus meningkat sebanyak 0.14 peratus tahun ke tahun," katanya.

Nathan berkata, berikutan liberalisasi kawalan pergerakan dan aktiviti ekonomi pada suku keempat 2021, pasaran hartanah turut menyaksikan peningkatan dalam keseluruhan aktiviti.

Beliau berkata, PropertyGuru percaya bahawa pasaran akan kekal optimistik namun berhati-hati terhadap peningkatan berterusan dalam persekitaran pasaran umum sepanjang tahun ini, didorong oleh keadaan ekonomi yang lebih baik dan kadar vaksinasi yang lebih tinggi.

Berita Harian X