Rabu, 26 Januari 2022 | 3:42pm
Pengarah Urusan Teladan Setia, Richard Teo Lay Ban
Pengarah Urusan Teladan Setia, Richard Teo Lay Ban

Teladan Setia lancar projek baharu RM1.04 bilion tahun ini

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah yang berpangkalan di Melaka, Teladan Setia Group Bhd menyasarkan pelancaran pembangunan baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM1.04 bilion pada 2022.

Teladan Setia menerusi kenyataan hari ini berkata, ia akan menawarkan pelbagai projek kediaman yang terdiri daripada pangsapuri perkhidmatan bertingkat tinggi, perbandaran mewah berpagar dan berpengawal (G&G) dan rumah mampu milik.

Katanya, turut tersenarai dalam pelancaran baharu yang dirancang tahun ini adalah pembangunan sulung syarikat itu di Lembah Klang, merangkumi pangsapuri perkhidmatan dua menara dengan GDV yang dianggarkan bernilai RM574.5 juta.

Pengarah Urusannya, Richard Teo Lay Ban, berkata sejak penubuhan syarikat itu pada 1997, ia menyiapkan 20 projek dengan agregat GDV sebanyak RM2.12 bilion.

"Inilah masa yang sesuai untuk Teladan Setia keluar daripada kubu kukuh kami di Melaka.

"Selepas mencipta kedudukan jenama yang kukuh di negeri sendiri, kami mahu memperluas jangkauan untuk memanfaatkan lokasi lain yang menawarkan prospek pertumbuhan lebih tinggi," katanya.

Beliau berkata, sejak pandemik COVID-19, permintaan terhadap rumah yang luas dengan dilengkapi pelbagai kemudahan mencatatkan peningkatan berikutan orang ramai meluangkan lebih banyak masa di rumah.

"Kami positif dengan prospek pasaran hartanah pada 2022 berikutan ia dilihat bersedia untuk pulih seiring dengan ekonomi negara," katanya.

Menurutnya, dengan kadar dasar semalaman (OPR) yang dijangka kekal pada paras terendah sepanjang masa 1.75 peratus untuk sekurang-kurangnya pada separuh pertama tahun ini, ia memberi petanda baik kepada pembeli rumah kerana berpeluang menikmati kadar peminjaman rendah, dan seterusnya memacu permintaan terhadap hartanah.

Dalam masa terdekat, Teladan Setia akan melancarkan fasa 1B Taman Bertam Heights pada Februari 2022, perbandaran G&G di Melaka Tengah dengan GDV RM242.7 juta, yang terdiri daripada rumah teres dua tingkat dan rumah berkembar dua tingkat dengan harga jualan seunit antara RM500,000 hingga RM750,000.

-BERNAMA

Berita Harian X