Selasa, 25 Januari 2022 | 12:26pm

Industri pembaikan, ubahsuai rumah dijangka pulih tahun ini

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan rumah dan setempat dijangka berkembang pada tahun 2022 apabila keyakinan 60 peratus perniagaan optimistik yang industri itu akan pulih sepanjang tahun ini.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Recommend Group, Jes Min Lua, berkata wabak COVID-19 telah memberi impak yang besar ke atas industri perkhidmatan, memaksa pembekal perkhidmatan meneroka peluang baharu, selain memotong kos, atau menukar haluan sama sekali.

Katanya, impak itu juga lebih mencabar bagi perniagaan kecil dan pekerja individu kerana kapasiti simpanan mereka yang lebih kecil.

"Namun pada tahun 2021, tinjauan tahunan yang dijalankan oleh Recommend.my merungkai daya pemulihan yang berdaya tahan, di samping keyakinan yang optimistik bagi tahun 2022.

"Sepanjang dua tahun yang lalu, industri perkhidmatan rumah dan setempat terpaksa menghadapi situasi pandemik. Bagi memahami cabaran yang ditempuhi oleh pembekal perkhidmatan ketika pandemik, 18.4 peratus didapati mengalami kesukaran mendapatkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran.

"Sejumlah 17.3 peratus terjejas teruk akibat kenaikan kos bahan (khususnya dalam sektor pembaikan rumah), 13.8 peratus menyatakan bahawa mereka tidak pasti bagaimana situasi semasa akan mempengaruhi permintaan pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Min Lua berkata, namun setelah ditinjau, lebih daripada separuh pembekal perkihidmatan berpangkalan di Malaysia yang mempunyai afiliasi dengan Recommend.my, iaitu platform perkhidmatan rumah dan setempat yang terkemuka di Malaysia, didapati berjaya memelihara atau meningkatkan aliran pendapatan mereka pada tahun 2021 jika dibandingkan dengan tahun 2020.

"Pada tahun 2021, perubahan trend dalam perkhidmatan rumah dan setempat telah memberi impak yang besar ke atas industrinya. Bagaimanapun, menerusi tinjauan kami, 57.5 peratus daripada pembekal perkhidmatan kami didapati berjaya memelihara atau meningkatkan pendapatan mereka pada tahun 2021 berbanding tahun 2020.

"Ia menunjukkan bahawa tahun 2021 adalah fasa pemulihan bagi pembekal perkhidmatan kami," katanya.

Tambahnya, jika diteliti, 20.8 peratus daripada responden tinjauan ini didapati berjaya mengadaptasi dan meningkatkan pendapatan mereka sehingga 25 peratus, manakala 9.2 peratus responden telah meningkatkan pendapatan mereka sebanyak 25-50 peratus.

Pada masa yang sama katanya, lebih 17.5 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ditinjau pula telah menyaksikan susutan pendapatan sebanyak lebih 50 peratus.

"Sektor pembaikan rumah lebih terjejas dengan situasi pandemik, khususnya kerana kenaikan kos material dan keengganan pengguna untuk membelanjakan wang. Vendor penyenggaraan rumah bagaimanapun telah menyaksikan kenaikan dalam purata pendapatan kerana pengkhususan mereka dalam kerja-kerja pembaikan dan pemasangan yang ringkas.

"Ia termasuk juruelektrik, pekerja rencam, juruteknik penyaman udara, dan tukang paip. Dan antara faktor penyumbang utamanya ialah kebanyakan kakitangan penyenggaraan rumah dapat meneruskan operasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) asalkan ia melibatkan kerja-kerja asas seperti kebocoran air dan gangguan bekalan elektrik misalnya.

"Kami menjangkakan bilangan projek perkhidmatan rumah dan setempat akan meningkat pada tahun 2022 berlatarkan 60 peratus perniagaan yang optimistik bahawa industri ini akan pulih sepanjang tahun 2022. Kami juga sedang mengambil langkah untuk mendapatkan lebih ramai pakar perkhidmatan berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan," katanya.

Tinjauan itu membabitkan 120 PKS dalam industri perkhidmatan rumah dan setempat di Malaysia, yang dijalankan dari 15 - 28 Disember 2021.

Berita Harian X