Rabu, 22 Disember 2021 | 6:01pm

Sunway Property raih jualan RM553 juta

KUALA LUMPUR: Sunway Property, bahagian hartanah Sunway Group mencatatkan jualan sebanyak RM553 juta dalam tempoh dua bulan pelancaran kempen "Always with You 2021" pada 15 Oktober lalu.

Ia membabitkanlima pembangunan terkininya yang direka untuk kehidupan dalam norma baharu.

Dalam kenyataan hari ini, pemaju itu berkata jumlah itu hampir mencapai sasaran jualannya bagi 2021 iaitu RM2.2 bilion.

Sunway Property telah mengubah sasaran jualannya untuk meningkat kepada RM2.2 bilion tahun ini selepas melepasi sasaran jualan awal berjumlah RM1.6 bilion pada separuh pertama tahun ini.

"Kami menyifatkan kejayaan kempen ini adalah disebabkan kediaman yang mengutamakan kesejahteraan individu, telah kembali diminati," kata Pengarah Eksekutif Wilayah Tengah Chong Sau Min.

Semua pelancaran baharu itu menggabungkan reka bentuk lestari yang disokong kemudahan gaya hidup, bangunan berkualiti, kualiti udara yang ditambah baik, serta utiliti yang menjimatkan kos seperti tenaga dan air.

Beliau berkata syarikat itu mendapati terdapat perubahan dalam minat pengguna sejak kawalan pergerakan dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19.

"Setiap pembangunan ini berada di lokasi strategik dengan reka bentuk yang mempertimbangkan keperluan penghuni, landskap yang subur dan ciri-ciri norma baharu termasuk lobi dengan alih udara semula jadi, ruang kerja bersama dan ciri-ciri kehidupan lestari yang lain," kata Chong.

Kempen itu yang akan berakhir pada 31 Disember 2021 membolehkan pembeli untuk memanfaatkan bayaran tanpa faedah sehingga 12 bulan dengan penjimatan sehingga RM23,000.

Bersempena Kempen Pemilikan Rumah yang akan berakhir pada hujung bulan ini, pembeli juga akan menikmati pengecualian ke atas memorandum pindah milik dan penjimatan duti setem pinjaman sehingga RM32,000.

Projek-projek yang mengambil bahagian terdiri daripada Sunway Serene, Sunway Velocity TWO, Sunway Belfield, Sunway Artessa dan Sunway d'hill Residences.

– Bernama

Berita Harian X