Rabu, 8 Disember 2021 | 1:12pm
Harga median keseluruhan meningkat 8.5 peratus antara separuh kedua 2020 hingga separuh pertama 2021 - Foto hiasan
Harga median keseluruhan meningkat 8.5 peratus antara separuh kedua 2020 hingga separuh pertama 2021 - Foto hiasan

Harga rumah di Malaysia kembali meningkat

KUALA LUMPUR: Harga median keseluruhan bagi pembelian hartanah dalam tempoh separuh kedua 2020 hingga separuh pertama 2021 meningkat 8.5 peratus, kenaikan tertinggi sejak separuh pertama 2016.

Laporan Tinjauan Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia 2022 mendapati, aktiviti hartanah terus berlaku di Malaysia walaupun dalam persekitaran yang sangat mencabar, namun pada jumlah yang lebih rendah.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata peningkatan harga median hartanah di sebalik penurunan mendadak kadar transaksi menunjukkan bahawa pembeli mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan keinginan terhadap hartanah berharga tinggi.

"Gabungan antara kadar faedah yang rendah, penurunan harga hartanah dan persekitaran insentif menyediakan masa yang sesuai untuk pembeli yang berkemampuan untuk memasuki pasaran hartanah.

"Walaupun pada kemuncak sekatan pergerakan, keupayaan mereka untuk membuat keputusan pembelian dibantu oleh transformasi digital yang semakin diguna pakai oleh syarikat hartanah, yang kini membolehkan proses pembelian menyeluruh buat pengguna," katanya pada taklimat media secara maya, hari ini.

Turut serta, Timbalan Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi; Presiden Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Chan Ai Cheng; dan Pengarah Urusan PropertyGuru DataSense Malaysia, Joe Thor.

Kajian dalam laporan berkenaan dilakukan PropertyGuru DataSense, cabang analisis data dan penyelesaian PropertyGuru.

Sheldon berkata, secara keseluruhan, laporan oleh Propertyguru itu mendapati pasaran hartanah Malaysia semakin stabil dan dijangka mencatatkan pemulihan secara berperingkat pada separuh pertama 2022.

Beliau berkata, ia sejajar dengan tinjauan umum terhadap ekonomi Malaysia yang semakin baik, apabila dijangka mencatatkan prestasi lebih baik pada tahun depan.

Katanya, tinjauan yang lebih baik itu dicerminkan oleh Indeks Harga Permintaan Hartanah PropertyGuru Malaysia terkini yang mendapati aliran harga kembali meningkat pada suku ketiga 2021, menunjukkan bahawa sentimen bertambah baik seiring dengan kadar vaksinasi yang lebih tinggi, pembukaan semula aktiviti komersial dan kelonggaran persekitaran buat pengguna.

"Memandangkan pemulihan sektor hartanah dijangka mengikuti pemulihan ekonomi negara yang lebih memberangsangkan, kita mungkin akan melihat peningkatan secara berperingkat dalam persekitaran pasaran pada separuh pertama tahun depan, sebelum ia bertambah baik pada separuh kedua 2022," katanya.

Sementara itu, Sheldon berkata tempoh separuh pertama 2022 adalah

masa sesuai buat pencari rumah yang ingin merebut peluang, selain mendapat manfaat daripada kadar faedah rendah yang sedang ditawarkan.

Namun, tegasnya mereka dinasihatkan untuk mempertimbangkan kestabilan kewangan peribadi dan jaminan pekerjaan sebelum membuat komitmen kewangan jangka panjang.

"Dengan harga yang bergerak positif pada suku akhir tahun dan sentimen beransur-ansur bertambah baik, kemungkinan besar lebih ramai pembeli hartanah ingin menikmati potensi peningkatan harga pasaran sementara persekitaran kewangan masih menggalakkan.

"Ini adalah momentum yang dijangka meningkat dan berterusan sehingga ke 2022," katanya.

Berita Harian X