Selasa, 7 Disember 2021 | 5:00pm

PKNS yakin projek Rafflesia 2 dapat sambutan

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjangkakan projek Rafflesia 2 di Bernam Jaya, Selangor akan mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli kerana ditawarkan pada harga bermula RM457,000.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas, berkata Rafflesia 2 merangkumi 87 unit rumah teres dua tingkat dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM37 juta.

Katanya, seperti Rafflesia yang dilancarkan pada Julai tahun lalu, projek terbaharu itu juga mempunyai akses perhubungan yang mudah, memberikan pilihan kepada pembeli yang bekerja di Kuala Lumpur memiliki kediaman.

"Kawasan Bandar Bernam Jaya masih mempunyai kehijauan alam dan aktiviti beriadah selain jarak yang tidak jauh dari ibu kota.

"Sudah tentu, pembeli yang bekerja di Kuala Lumpur inginkan suasana kediaman yang tenang. Rafflesia 2 menawarkan ketenangan yang diperlukan oleh ramai pembeli," katanya selepas pelancaran projek itu di sini, hari ini.

Mahmud berkata, seiring dengan mandat agensi itu menyediakan kediaman kepada rakyat Selangor, PKNS turut menawarkan yuran guaman dan duti setem percuma selain diskaun 10 peratus bagi pembelian projek PKNS pertama dan tambahan dua peratus untuk pembeli sedia ada.

Beliau berkata, sempena pelancaran Rafflesia 2 juga, PKNS mengadakan cabutan bertuah untuk 24 pemenang dengan hadiah keseluruhan bernilai RM80,000 termasuk hadiah utama wang tunai sebanyak RM20,000.

PKNS juga, katanya memberikan lebih banyak galakan termasuk memperkenalkan Program Rujukan kepada 10 pembeli pertama, yang akan menerima insentif RM1,000 bagi setiap pelanggan baharu diperkenalkan.

Sementara itu, Mahmud berkata pasaran hartanah, terutama kediaman mampu milik akan kembali pulih dalam masa terdekat selepas berhadapan dengan pelbagai gangguan disebabkan pandemik COVID-19.

Beliau berkata, unjuran itu berdasarkan kepada trend pembelian semasa apabila pembeli lebih menumpukan kepada pembelian hartanah kediaman mampu milik di bawah harga RM500,000 yang mempunyai akses perhubungan dan kemudahan nilai tambah yang lain.

"Projek hartanah PKNS dengan harga mampu milik seperti Rafflesia yang dilancarkan pada Julai 2020 sebanyak 105 unit rumah teres dua tingkat habis terjual sepenuhnya.

"Ini menunjukkan pembeli inginkan kediaman yang bukan hanya menawarkan harga berpatutan, tetapi mempunyai elemen lain seperti akses perhubungan, lokasi, tawaran istimewa serta kemudahan beraktiviti," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas (tengah) diiringi Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah PKNS, Mohd Wazir Abdul Gani (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi PKNS, Suhaimi Kasdon pada pelancaran projek Rafflesia 2 di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas (tengah) diiringi Pengurus Besar Pembangunan Wilayah Tengah PKNS, Mohd Wazir Abdul Gani (kanan) dan Ketua Pegawai Operasi PKNS, Suhaimi Kasdon pada pelancaran projek Rafflesia 2 di Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam. - NSTP/Faiz Anuar
Berita Harian X