Isnin, 29 November 2021 | 6:36pm
Glomac Bhd - Foto fail NSTP
Glomac Bhd - Foto fail NSTP

Glomac rancang lancar projek baharu RM216 juta

KUALA LUMPUR: Glomac Bhd, pemaju hartanah tempatan bercadang untuk melancarkan projek baharu sepanjang separuh kedua tahun kewangan 2022 membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM216 juta.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri FD Iskandar Mansor, berkata cadangan itu membabitkan empat projek utama iaitu Saujana Perdana, Saujana Utama 5 dan Saujana KLIA di Lembah Klang serta Saujana Jaya, Johor.

"Glomac bercadang untuk menggiatkan lagi inisiatif jualan sambil sekatan pergerakan dilonggarkan dan ekonomi dibuka semula.

"Pelancaran baharu juga termasuk tawaran fasa pertama Saujana Utama 5, Sungai Buloh, pembangunan bandar kediaman baharu dengan GDV RM299 juta yang terletak bersebelahan Saujana Utama yang sedang pesat berkembang," katanya pada taklimat media hari ini.

FD Iskandar berkata, permintaan bagi hartanah kediaman peringkat pertengahan tetap menggalakkan dan Glomac yakin dengan sambutan positif bagi pelancaran baharu yang akan datang.

Beliau berkata, untuk terus menambah baik tawaran produk, Glomac turut menyesuaikan kediamannya kepada norma digital baharu dengan menyediakan kemudahan sambungan jalur lebar dan susun atur yang menyokong keperluan bekerja dari rumah.

"Pelancaran terdahulu di bandar sedia ada sudah hampir habis dijual. Glomac akan terus menggunakan strategi pemasaran serampang dua mata, memanfaatkan platform pemasaran digital dan pendekatan galeri jualan fizikal yang lazim.

"Dalam jangka pendek, Glomac dijangka dapat terus menjana keuntungan disokong oleh jualan belum dibil berjumlah RM526 juta dan penyambungan aktiviti pembinaan," katanya.

Dalam pada itu, FD Iskandar berkata, kumpulan tetap berhati-hati disebabkan ketidakpastian yang timbul daripada pandemik, yang masih boleh menjejaskan sentimen walaupun keyakinan semakin meningkat seiring pembukaan semula ekonomi.

Beliau menambah, Glomac masih memiliki simpanan tanah berkeluasan lebih 283 hektar dengan anggaran GDV RM8 bilion untuk dimajukan dalam tempoh 10 hingga 12 tahun akan datang.

Katanya, Glomac berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan aktiviti pembangunan untuk memacu pertumbuhan syarikat.

"Berdasarkan perancangan asal, simpanan tanah ini akan mengambil masa sehingga 12 tahun untuk dimajukan. Namun, akibat COVID-19 ia mungkin berlanjutan sehingga 20 tahun.

"Bagaimanapun, berdasarkan perkembangan semasa, pandemik mungkin akan berakhir dan sasaran pembangunan kami akan diteruskan bergantung kepada tempoh pelancaran dan jualan produk. Kami juga akan meneruskan cadangan untuk menambah simpanan tanah di sekitar atau berhampir Lembah Klang.

"Berlandaskan lembaran imbangan yang kukuh, kumpulan dapat menggiatkan lagi aktiviti pembangunan dan memacu pertumbuhan jangka panjang apabila sentimen bertambah baik," katanya.

Glomac mencatatkan pendapatan yang lebih rendah RM75.4 juta bagi suku kedua tahun kewangan semasa berakhir 30 April 2022 berbanding suku tahun yang sama pada tahun kewangan 2021.

Bagimanapun, keuntungan sebelum cukai melonjak 47.2 peratus kepada RM19.5 juta, disokong oleh margin keuntungan kasar yang lebih baik.

Projek pembangunan yang menyumbang kepada pertumbuhan itu termasuk Saujana Perdana, Plaza@ Kelana Jaya, 121 Residences, Lakeside Boulevard dan Sri Saujana di Johor.

Berita Harian X