Isnin, 29 November 2021 | 12:08pm
Projek Tropicana Aman - Freesia Residences antara yang menerima pengiktirafan
Projek Tropicana Aman - Freesia Residences antara yang menerima pengiktirafan

Tropicana dinobat pemaju hartanah terbaik

KUALA LUMPUR: Acara Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia (Malaysia) Kelapan yang berlangsung baru-baru ini menyaksikan Tropicana Corporation Bhd diumumkan sebagai Pemaju Terbaik, iaitu kejayaannya untuk tahun kedua berturut-turut.

Syarikat pemaju itu merangkul enam anugerah emas dan dua penghargaan, termasuk Pemaju Terbaik (Malaysia Tengah) yang baru diperkenalkan serta anugerah Pembangunan Bertanah Mewah Terbaik bagi projek Tropicana Aman - Freesia Residences.

Pemenang bagi anugerah itu yang mendapat sokongan penajaan platinum, Kohler, diumumkan dalam majlis penyampaian secara maya pada 25 November lalu yang turut berperanan sebagai platform bagi menghargai serta mengiktiraf pencapaian sektor hartanah Malaysia dalam 25 kategori termasuk penghargaan khas dan baharu.

Matrix Concepts Holdings Bhd meraih anugerah Pemaju Perbandaran Terbaik dan menerima tiga anugerah khas.

Pengarah Urusan Kumpulan Matrix, Ho Kong Soon pula dinamakan sebagai penerima anugerah Personaliti Hartanah Malaysia 2021 yang disampaikan oleh barisan pengarang Majalah PropertyGuru Property Report.

Barisan pemenang lain bagi kategori pemaju adalah OCR Group Bhd dan Ideal Property Group, yang masing-masing diumumkan sebagai Pemaju Gaya Hidup Terbaik dan Pemaju Rumah Mampu Milik Terbaik.

Anugerah edisi 2021 itu turut memberi penghargaan kepada pemaju yang mendapat tumpuan atau tarikan ramai.

Ini termasuk Ideal Property Group yang meraih anugerah Pembangunan Kondominium/Pangsapuri Pasaran Massa Terbaik (Utara) bagi projek Havana Beach Residences manakala Mah Sing Group Bhd memenangi kategori itu bagi pembangunan kawasan Tengah melibatkan projek M Luna.

Projek-projek oleh syarikat di bawah Sime Darby Property Bhd pula mendominasi kategori terbaik bagi Malaysia.

"Acara anugerah di Malaysia ini adalah lanjutan daripada kedudukan kukuh di pasaran serta dari segi prestasi perniagaan syarikat terbabit.

"Edisi kelapan ini juga terus mengiktiraf aspek pembinaan ruang dengan pelbagai sentuhan mewah dan kemampuan selain akses pemilikan hartanah kepada pelbagai peringkat kumpulan pendapatan di negara ini.

"Anugerah yang mengetengahkan pelbagai pilihan dalam hartanah berkualiti ini turut melonjakkan pencapaian pemaju inovatif di serata Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PropertyGuru, Hari V. Krishnan dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Acara dan Anugerah Hartanah PropertyGuru Asia, Jules Kay, berkata pilihan dari segi tawaran hartanah berkualiti di Malaysia telah meningkat dengan ketara dan menjadikannya antara destinasi pelaburan hartanah paling menarik di rantau ini.

"Kami gembira kerana dapat mengiktiraf pemaju yang terbukti berdaya tahan dalam tempoh mencabar ini. Penyertaan bagi anugerah ini turut mengetengahkan pelbagai projek kondominium dan perumahan mengikut keperluan cita rasa dan bajet berbeza kalangan pembeli hartanah," katanya.

Maklumat lanjut mengenai anugerah itu boleh diperoleh menerusi e-mel di awards@propertyguru.com atau di laman sesawang rasmi AsiaPropertyAwards.com.

-BERNAMA

Berita Harian X