Isnin, 2 November 2020 | 11:27am
Menyewa boleh menjimatkan kos penginapan dalam jangka pendek - Foto fail NSTP
Menyewa boleh menjimatkan kos penginapan dalam jangka pendek - Foto fail NSTP

Insentif penyewaan rangsang pasaran hartanah

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperkenalkan lebih banyak insentif penyewaan seperti insentif kepada penyewa kali pertama bagi merancakkan sektor hartanah domestik.

Pengurus Besar iProperty.com Malaysia Sdn Bhd, Wong Siew Lai, berkata ketidaktentuan akibat pandemik COVID-19 mungkin mendorong lebih ramai untuk menyewa daripada membeli rumah.

Malah, katanya semakin ramai juga yang bekerja dari rumah dan memberi lebih keutamaan kepada persekitaran hidup lebih selesa serta kondusif.

"Menyewa boleh menjimatkan kos penginapan dalam jangka pendek. Sebagai contoh, kerajaan boleh memperkenalkan insentif kepada penyewa kali pertama dan berpengalaman.

"Pemilik rumah yang sukar untuk menjual hartanah pada masa ini boleh mempertimbangkan penyewaan jika insentif yang menarik diperkenalkan untuk memanfaatkan mereka.

"Sebagai contoh, pada awal tahun ini kerajaan mengumumkan potongan cukai kepada pemilik rumah yang memberikan diskaun kepada kadar sewa," katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut Siew Lai berkata, pihaknya juga berharap kerajaan mempertimbangkan pengurangan cukai duti setem untuk pembeli rumah kali pertama selepas Kempen Pemilikan Rumah berakhir pada 31 Mei 2021.

Katanya, pengurangan duti setem adalah penting untuk membantu golongan muda Malaysia membeli hartanah dan pengurangan cukai itu juga boleh diperluaskan ke pasaran sekunder untuk menambah peluang buat pembeli.

"Selain itu, kerajaan juga diharapkan mengkaji semula dasar dan memperkenalkan langkah-langkah tambahan untuk menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda.

"Sebagai contoh, pelepasan cukai untuk faedah pinjaman rumah yang ditanggung oleh pembeli rumah kali pertama perlu diperkenalkan semula untuk menggalakkan lagi pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda.

"Lebih awal mereka membeli hartanah, lebih banyak masa untuk golongan muda mendapat manfaat kenaikan modal daripada pelaburan hartanah mereka," katanya.

Tambahnya, pengecualian penuh daripada Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT) yang diumumkan di bawah pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) amat dialu-alukan.

Pada masa ini, katanya, pengecualian berkenaan dihadkan kepada pelupusan tiga unit rumah kediaman bagi setiap individu.

"Kami berharap belanjawan baharu akan memperbaiki inisiatif CKHT yang sedia ada dengan menghapuskan atau melonggarkan had unit pelupusan setiap individu untuk meningkatkan keyakinan di kalangan penjual hartanah.

"Ini akan membantu merangsang lebih banyak transaksi dan mendorong penjual untuk memanfaatkan penjimatan daripada pengecualian ini kepada pembeli," katanya.

Siew Lai berkata, satu lagi faktor yang boleh merangsang pasaran hartanah tempatan adalah pelaburan daripada pembeli asing.

"Kami berharap Belanjawan 2021 akan menghidupkan semula program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi menggalakkan pelaburan asing di pasaran hartanah tempatan.

"Di samping itu, proses permohonan boleh diselaraskan untuk lebih mesra pelabur bagi menggalakkan lebih ramai pembeli asing.

"Walaupun program MM2H hanya merangkumi sebahagian kecil daripada jumlah pembeli rumah di Malaysia, ia penting untuk memacu permintaan dari pembeli asing.

"Program ini juga dapat mengurangkan hartanah tidak terjual dan pembekalan unit tidak terjual dalam pasaran sekunder," katanya.

Berita Harian X