KUALA LUMPUR: Pelancaran dua model baharu oleh Bermaz Auto Bhd, Kia Sorento dan Peugeot Landtrek akan mengukuhkan pertumbuhan kumpulan pada tahun ini.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata dua model itu juga dilihat sebahagian daripada pertumbuhan berterusan Kia dan Peugeot.
"Kia Sorento dan Peugeot Landtrek adalah tambahan kepada bilangan model Bermaz Auto yang terhad bagi kedua-dua jenama.
"Sorento ialah kenderaan pasangan tempatan (CKD) dengan anggaran kos sekitar RM220,000 hingga RM255,000. Landtrek pula diimport sepenuhnya (CBU) dan kosnya adalah sekitar RM123,000.
"Tambahan dua varian ini ialah sebahagian daripada strategi Bermaz Auto yang lebih luas untuk terus mengembangkan kedua jenama itu di Malaysia dengan lebih banyak model akan datang," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Beliau berkata, Bermaz Auto yang juga pengedar Mazda turut berhadapan dengan lonjakan disebabkan lebih banyak CKD jenama itu diperkenalkan.
Katanya, dengan persiapan bagi pemasangan tempatan Mazda CX-30 sudah pun berjalan, pihaknya berpandangan jualan unit pertama CX-30 CKD dapat direkodkan pada Februari atau Mac ini.
"Dengan harga dianggarkan pada RM10,000 lebih rendah untuk CX-30 CKD berbanding varian CBU dan kepastian lebih tinggi dalam jumlah pengeluaran, pemasangan tempatan ini dapat membantu mendorong pertumbuhan jumlah.
"Dengan operasi CKD CX-5 dan CX-8 yang berjaya setakat ini, kami tidak menolak kemungkinan adanya lebih banyak CKD Mazda pada masa hadapan," katanya.
Mengenai pilihan kenderaan elektrik (EV) pula, Khai Xhiang berkata, pilihan untuknya bertambah, tetapi permintaan masih lemah.
Beliau berkata, pada suku pertama 2023, Bermaz Auto akan menambah Peugeot e-2008 dalam barisan EV sedia ada yang kini termasuklah MX-30 dan EV6 keluaran Mazda dan Kia.
Namun, katanya walaupun ketersediaan kenderaan EV ini memangkin langkah kerajaan, pengguna di Malaysia masih sedang dalam proses menerima kehadiran kenderaan sedemikian.
"Tiada masa menunggu untuk MX-30 buat masa ini dan terdapat tempoh menunggu yang pendek bagi sesetengah warna EV6.
"Kami berpendapat sambutan yang tidak begitu memberangsangkan ini mungkin disebabkan oleh harga EV yang tinggi, kurang kemudahan mengecas dan masa pengecasan yang lama," katanya.
Sementara itu, Khai Xhiang berkata, pihaknya melihat penjualan saham berlebihan Bermaz Auto yang berlaku kebelakangan ini sebagai satu peluang untuk pelabur mengumpul saham.
Beliau berkata, ini kerana bank pelaburan itu tetap menjangkakan pertumbuhan perolehan yang kukuh selepas penghantaran tempahan tanpa pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).