Ahad, 9 April 2017 | 8:05am

Beli trak Fuso dapat Mercedes-Benz C200

ALBERT (kiri) bersama wakil yang menerima hadiah untuk Noraini.
ALBERT (kiri) bersama wakil yang menerima hadiah untuk Noraini.

NORAINI Abdul Haris, usahawan tempatan yang menguruskan perniagaan logistik bersama suaminya menjadi pembeli bertuah trak FUSO apabila dipilih sebagai pemenang hadiah utama FUSO Diamond 2016.

Beliau yang membeli trak FUSO pertama sembilan bulan lalu dipilih secara rambang daripada penyertaan yang terdiri daripada pelanggan FUSO di seluruh negara, membawa pulang hadiah sebuah Mercedes-Benz C200, lawatan ke Jepun serta kunjungan ke Kilang dan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kawasaki FUSO di Jepun dan baucar servis bernilai RM6,000.

"Sebagai pelanggan FUSO baharu, kami tidak menjangka akan terpilih sebagai Pemenang Hadiah Utama daripada semua peserta. Perniagaan kami terbabit dalam pengangkutan barangan berasaskan perkhidmatan sewa.

"Kami memerlukan trak kami untuk berada dalam keadaan baik pada setiap masa dan sebab itulah kami yakin menggunakannya berasaskan rekod pencapaian FUSO," kata Noraini dari I Aini Brilliance Enterprise.

Seramai 26 lagi pemenang bertuah juga membawa pulang hadiah menarik di majlis makan malam gala.

Pemenang hadiah pertama, kedua, ketiga dan keempat masing-masing menerima ganjaran lawatan ditanggung sepenuhnya ke Jepun serta kunjungan ke Kilang dan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kawasaki FUSO, dan juga baucar servis masing-masing bernilai RM5,000, RM4,000, RM3,000 dan RM2,000.

Di samping itu, 10 pelanggan bertuah FUSO memenangi hadiah sagu hati berupa baucar servis bernilai RM2,000 setiap satu, manakala 12 lagi pelanggan bertuah FUSO masing-masing menerima baucar servis bernilai RM1,000.

Peraduan FUSO Diamond 2016/2017 menerima penyertaan daripada pemilik trak FUSO bagi kenderaan yang berdaftar antara 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016. Sejak dimulakan pada 2006, MBM CV telah menerima lebih 8,000 penyertaan bagi Peraduan FUSO Diamond.

Tahun ini adalah tahun keempat Peraduan FUSO Diamond dianjurkan oleh Mercedes-Benz Malaysia Commercial Vehicles (MBM CV), pengedar sah trak FUSO di Malaysia.

Peraduan itu membabitkan cabutan mini yang diadakan pada bulan Julai 2016, yang menerima 885 penyertaan, dan berakhir dengan Cabutan Pusingan Akhir, yang menerima 1,478 lagi penyertaan.

Naib Presiden Mercedes-Benz Malaysia Commercial Vehicles, Albert Yee, berkata pihaknya mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan berharap untuk terus memuaskan pelanggan dengan membekalkan trak yang boleh dipercayai dengan kualiti perkhidmatan yang tiada tandingan.

Beliau berkata, peraduan FUSO Diamond adalah cara pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas kepercayaan, kesetiaan dan sokongan mereka selama ini.

"Untuk peraduan 2016/2017, kami menerima 2,363 penyertaan dan kami amat gembira dengan sambutan pelanggan yang memberangsangkan.

"Setiap tahun, kami memang menantikan acara ini, dan kami tidak sabar untuk untuk melihat senyuman yang terukir di wajah pemenang," katanya.

INFO

  • Peraduan FUSO Diamond 2016/2017 terima 2,363 penyertaan.
  • Peraduan FUSO Diamond tanda penghargaan kepada pelanggan kerana kepercayaan, kesetiaan dan sokongan mereka.
  • Hadiah utama - sebuah Mercedes-Benz C200, lawatan ke Jepun serta kunjungan ke Kilang dan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kawasaki FUSO di Jepun, dan baucar servis bernilai RM6,000.
Berita Harian X