Selasa, 7 March 2017 | 12:13am

JWN usah berpolemik - Rais

KUALA LUMPUR: Jabatan Warisan Negara (JWN) dilihat cuba lari daripada tanggungjawab apabila memutuskan rumah pusaka di Chow Kit tidak mematuhi sembilan kriteria bagi membolehkannya diisytiharkan sebagai Warisan Kebangsaan.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Rais Yatim, berkata apa yang penting rumah pusaka di Chow Kit itu memiliki unsur sejarah dan tradisi seni bina Melayu.

Tegasnya, semua aspek berkenaan sudah cukup untuk membolehkan JWN mengambil bahagian.

"Saya berpendapat mereka tidak berminat. Ketika saya jadi menteri dahulu mengapa JWN berminat? Akta itu saya yang buat, pada zaman saya. Jadi, saya berhak mengatakan JWN seharusnya mengambil minat yang lebih," katanya ketika dihubungi BH Plus.

JWN dalam pertemuan khas dengan BH menyebut rumah pusaka Chow Kit yang dimiliki oleh waris pengasas Kuala Lumpur, Sutan Puasa tidak layak diangkat sebagai warisan kebangsaan kerana tidak memenuhi sembilan kriteria yang digariskan dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Rumah yang dibina pada 1926 itu terpaksa dirobohkan berikutan tapak asalnya dijual pada 2013. Bagaimanapun kayu-kayan daripada rumah berkenaan disimpan dengan baik oleh sekumpulan sukarelawan, Rumah Pusaka Chow Kit (RPCK) yang masih gagal mencari dana bagi membolehkan ia didirikan semula.

Rais menegaskan, jika terdapat sebuah rumah Melayu di Chow Kit, masihkah boleh untuk mengatakan ia tidak memenuhi kriteria.

Sebaliknya, kriteria itu bergantung kepada budi bicara Pesuruhjaya Warisan dan pihak berkuasa mengenai seni bina Melayu.

"Itu saja isunya dan kita tidak payah berpolemik panjang. Saya tidak bersetuju dengan pandangan bahawa rumah itu tidak mempunyai kriteria yang digariskan.

 RUMAH Pusaka Chow Kit. - Foto Ihsan Pembaca
RUMAH Pusaka Chow Kit. - Foto Ihsan Pembaca

"Kita tidak perlu memenuhi kesembilan kriteria sebab akta itu ada menyebut mengenai budi bicara terhadap nilai saintifik, nilai seni, nilai warisan nilai seni bina dan budaya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Datuk Mod Zaky Din, berkata Seksyen 67 akta berkenaan menggariskan sembilan kriteria yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu pengisytiharan Warisan Kebangsaan boleh dilakukan.

Kriteria itu termasuk menimbangkan kepentingan sejarah, hubungan dengan sejarah Malaysia, ciri reka bentuk atau estetik, hubungan sosial atau kebudayaan dan potensi mendidik dan menjelaskan atau menyediakan penyiasatan saintifik lanjut berhubung warisan kebudayaan Malaysia.

Beliau berkata, pembabitan JWN dengan rumah pusaka Chow Kit yang dibina pada tahun 1926 itu bermula pada 2006 membabitkan kajian kerosakan dan kerja baik pulih termasuk melaksanakan penggantian komponen rosak, penampalan simen dan pembaikan pendawaian elektrik.

"Tetapi, penilaian dilakukan JWN pada tahun 2013 mendapati rumah pusaka Chow Kit itu tidak menonjol atau bernilai tinggi daripada aspek seni bina dan ragam hias Melayu untuk diangkat sebagai warisan sebagaimana kriteria digariskan Akta Warisan Kebangsaan.

"Bagaimanapun, kami akan melakukan kajian semula bagi meneliti pelbagai perkara berkaitan rumah itu termasuk aspek sejarah yang dikaitkan dengannya," katanya ketika mengulas isu rumah pusaka Chow Kit beralamat Nombor 41, Jalan Chow Kit yang dimiliki anak saudara kepada pengasas Kuala Lumpur, Sutan Puasa dalam pertemuan dengan BH Plus.

 TIMBALAN Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Datuk Mod Zaky Din pada sesi temuramah di Bangunan Sultan Abdul Samad. - Foto Mahzir Mat Isa
TIMBALAN Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Datuk Mod Zaky Din pada sesi temuramah di Bangunan Sultan Abdul Samad. - Foto Mahzir Mat Isa

Rumah Melayu terakhir di kawasan Chow Kit yang dimiliki Sutan Mengatas atau Jaafar Sutan Sinombar itu sudah diceraikan secara tertib beberapa tahun lalu oleh RPCK berikutan tapak asalnya sudah dijual kepada pemilik baharu pada 2013.

Mod Zaky berkata, JWN merancang mengadakan satu pertemuan minggu depan membabitkan beberapa pihak termasuk Arkib Negara Malaysia, Majlis Warisan Kebangsaan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meneliti beberapa aspek berkaitan rumah pusaka itu termasuk memperincikan nilai sejarah yang dikaitkan dengannya.

JWN sebagai penyelaras, katanya, akan turut menjemput institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Arkitek Malaysia dan RPCK yang bertanggungjawab menyimpan kayu-kayan dari rumah pusaka itu.

"Ada beberapa perkara yang akan diteliti membabitkan isu rumah pusaka Chow Kit itu selepas ini termasuk memperincikan nilai sejarah yang dikaitkan dengannya selai

"Kami positif ke arah pembinaan semula rumah itu apatah lagi berdasarkan kajian pada 2013, rumah berkenaan juga dianggap sebagai ikon mewakili rumah Melayu yang masih wujud dalam kepesatan pembangunan dan bandar raya besar.

"Pada masa sama, satu kajian berasingan akan dilakukan bagi mendapatkan bukti dan melihat signifikan sejarahnya pada negara sebelum dapat diiktiraf sebagai bangunan warisan mengikut Akta 645," katanya.

 RUMAH Pusaka Chow Kit. - Foto Ihsan Pembaca
RUMAH Pusaka Chow Kit. - Foto Ihsan Pembaca

INFO

Seksyen 67, Akta Warisan Kebangsaan, antaranya menyebut:

- Menteri boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengisytiharkan mana-mana tapak warisan, objek warisan, warisan kebudayaan bawah air yang disenaraikan dalam Daftar atau mana-mana orang yang hidup sebagai suatu Warisan Kebangsaan.

Dalam membuat pengisytiharan mengikut subseksyen (1) Menteri boleh menimbangkan:

- Kepentingan sejarah, hubungan dengan atau perhubungan dengan sejarah Malaysia ciri-ciri reka bentuk atau estetik.

- Pembaharuan atau pencapaian saintifik atau teknikal.

- Hubungan sosial atau kebudayaan.

- Potensi untuk mendidik, menjelaskan atau menyediakan penyiasatan saintifik lanjut berhubung warisan kebudayaan Malaysia.

- Kepentingan dalam mempamerkan kekayaan, kepelbagaian atau integrasi bentuk yang luar biasa.

- Jarang tidaknya atau keunikan warisan semula jadi, warisan budaya ketara atau tidak ketara atau warisan kebudayaan di bawah air.

- Gambaran bentuk suatu tapak atau objek sebagai sebahagian daripada kelas atau jenis suatu tapak atau objek.

Perkara lain berkaitan penentuan warisan kebudayaan penting:

- Jika tapak, objek atau warisan kebudayaan di bawah air terletak di atas tanah Negeri, Menteri hendaklah berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri sebelum membuat apa-apa pengisytiharan di bawah subseksyen (1).

- Jika tapak, objek atau warisan kebudayaan di bawah air terletak diatas tanah beri hakmilik atau dipunyai oleh mana-mana orang selain Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri, pemunya, penjaga atau pemegang manah tapak itu, objek tidak dialih atau warisan kebudayaan di bawah air itu hendaklah diberitahu sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tarikh pengisytiharan dicadangkan itu.

- Jika pengisytiharan mengikut subseksyen (1) membabitkan suatu warisan kebudayaan tidak ketara dan hak cipta itu hendaklah diperoleh sebelum pengisytiharan dibuat.

 TAN Sri Dr Rais Yatim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
TAN Sri Dr Rais Yatim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
Berita Harian X