X
Sabtu, 24 Disember 2016 | 12:09am

Eyka Farhana 'party girl' buang imej kontroversi

KUALA LUMPUR: Sering dikaitkan dengan pelbagai kontroversi, selain dilabel kurang berdisiplin namun menganjak usia 21 tahun, Eyka Farhana semakin matang menyusun langkah. Enggan lagi membiarkan dirinya terus terjerat dengan kontroversi, Eyka mulai serius menjaga nama baiknya.

Menjadikan lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa, pemilik nama Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi tidak mahu lagi dikaitkan dengan isu yang mampu menggugat periuk nasinya.

Kini, dalam siri mempromosikan drama terbaharu lakonannya, Bahagia Kasihmu, Eyka mengakui, banyak belajar daripada kesilapan lalu.

PELAKON, Eyka Farhana. - Foto Mahzir Mat Isa
PELAKON, Eyka Farhana. - Foto Mahzir Mat Isa

"Sebelum ini, saya sering bermasalah terutama dalam pengurusan masa. Mungkin kerana ketika itu masih di bangku sekolah, saya sukar membahagikan masa. Tetapi semua episod itu sudah berlalu kerana saya semakin serius mahu menempatkan diri dalam industri.

"Apabila meningkat dewasa, setiap apa yang ingin saya lakukan, saya akan berfikir panjang. Saya juga cuba memberikan komitmen sebaik mungkin apabila diperlukan. Dulu saya memandang ringan semua ini, tetapi kini saya berusaha memberikan kerjasama terbaik," katanya.

Hampir enam tahun bergelut dalam dunia lakonan, bakat yang melonjak populariti menerusi filem Juvana ini enggan mensia-siakan peluang di depan mata. Eyka berkata, tawaran lakonan yang berterusan diterima memaksanya untuk melupakan seketika keinginan melanjutkan pelajaran.

PELAKON, Eyka Farhana. - Foto Mahzir Mat Isa
PELAKON, Eyka Farhana. - Foto Mahzir Mat Isa

"Saya mahu gunakan peluang ini sebaik mungkin. Alhamdulillah, keluarga banyak memberikan sokongan malah gembira dengan pilihan yang saya buat. Sokongan padu mereka membuatkan saya ingin terus belajar menjadi pelakon yang baik. Saya mahu kehadiran dan lakonan saya diingati.

"Secara peribadi, masih banyak yang perlu saya belajar malah saya terbuka menerima apa saja komen orang ramai terhadap kualiti lakonan saya," katanya.

Lari watak klise

Keinginan untuk memperbaiki diri bukan didorong persaingan dengan bakat baharu yang semakin mengukuhkan posisi mereka, sebaliknya Eyka tercabar untuk tampil terbaik. Eyka bersyukur kerana keinginan itu dapat direalisasikan menerusi drama Bahagia Kasihmu yang menggandingkannya bersama Fezrul Khan.

Menyifatkan drama itu membawanya lari daripada watak klise, Eyka mampu tersenyum apabila sudah mula menerima peranan berat dan tidak lagi disogok dengan karakter keanak-anakan.

PELAKON, Eyka Farhana. - Foto Mahzir Mat Isa
PELAKON, Eyka Farhana. - Foto Mahzir Mat Isa

"Syukur kerana penerbit sudah mula mempercayai kredibiliti saya untuk menghidupkan karakter berbeza. Dulu, disebabkan saiz badan yang kecil, saya sering diberikan watak keanak-anakan. Tetapi untuk Bahagia Kasihmu, saya mendapat kepercayaan untuk melakonkan karakter matang.

"Sudah lama saya menyimpan impian untuk membawa watak berat. Tidak dinafikan, agak sukar untuk menghidupkannya, tetapi saya sukakan cabaran baharu,," katanya yang baru menyempurnakan penggambaran drama 13 episod, Sumpah Ibu.

Bakal ke Sepanyol

Eyka juga menyifatkan setiap tawaran yang datang adalah rezeki yang tidak akan dinafikan. Bakal kembali ke lokasi penggambaran pada 26 Disember ini, Eyka juga teruja apabila terpilih untuk ke Sepanyol pada Mac depan. Eyka dijadualkan berada di sana selama hampir sebulan.

Drama itu akui Eyka, mencabar kredibilitinya kerana perlu belajar bertutur bahasa Sepanyol.

"Saya seronok dapat mempelajari sesuatu yang baharu kerana ia memberi ruang untuk saya meneroka potensi diri," tambahnya.

Pada masa sama, Eyka juga mengintai ruang untuk membintangi filem selepas beraksi dalam produksi seperti Polis Evo, Juvana 2 dan Juvana 3.

Info

* Anak kelahiran Ampang, sertai dunia seni sejak usia 16 tahun.

* Anak kedua daripada empat beradik ini.

* Bakal muncul bersama Fezrul Khan dalam drama, Bahagia Kasihmu, terbitan A Aida Production.

* Pernah muncul dalam Polis Evo, Juvana 2 & 3.

* Datuk Rosyam Nor dan Fasha Sandha jadi idola Eyka

* Pernah dihimpit kontroversi foto berhibur di kelab malam

PELAKON, Eyka Farhana. - Foto Mahzir Mat Isa
PELAKON, Eyka Farhana. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X