Khamis, 14 Julai 2016 | 12:12am

Manusia punca tragedi dan tangisan di Aidilfitri

bhnews.bh.com.my

KEJADIAN bot karam sering berlaku di Indonesia terutamanya pada musim perayaan.
KEJADIAN bot karam sering berlaku di Indonesia terutamanya pada musim perayaan.

KEDATANGAN Aidilfitri sewajarnya disambut meriah tanda kemenangan menyempurnakan rukun Islam ketiga selama sebulan.

Namun, di sebahagian dunia lain, Aidilfitri bertukar tragedi disebabkan pelbagai faktor - semula jadi dan perbuatan manusia.

Bagaimana mereka yang terbabit menyambut Aidilfitri dengan air mata mungkin sudah cukup memberitahu kepiluan hati ketika umat Islam lain meraikan hari kemenangan.

Mengimbas kembali tragedi Aidilfitri, dunia mungkin masih mengingatkan kejadian bot karam di Jakarta pada sambutan Hari Raya 2014.

Sekurang-kurangnya 25 terkorban pada hari pertama Aidilfitri itu termasuk enam kanak-kanak dalam dua kejadian berasingan itu.

Dalam kejadian berkenaan, bot membawa 48 penumpang karam di sungai pulau Sumatera selepas mengalami masalah enjin, menyebabkan enam kanak-kanak dan seorang dewasa terkorban.

SERANGAN bom di Baghdad mengorbankan 60 orang dan mencederakan 300 yang lain.
SERANGAN bom di Baghdad mengorbankan 60 orang dan mencederakan 300 yang lain.

Kerakusan manusia

Kejadian membabitkan bom karam sering berulang setiap kali munculnya Aidilfitri di Indonesia berikutan ramai penduduk mula pulang ke kampung masing-masing.

Di Mesir pula, kemuliaan Aidilfitri tahun lalu dicemari pertempuran antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan antikerajaan yang berlaku selepas solat sunat Aidilfitri, menyebabkan enam kematian dan puluhan lagi cedera.

Laporan menyatakan polis Mesir menyerang penunjuk perasaan yang berkumpul selepas solat sunat di beberapa kawasan berbeza seluruh negara.

Pasukan keselamatan juga menyerang penunjuk perasaan di kawasan kejiranan Hanoville di Iskandariah selepas solat sunat Hari Raya. Puluhan dilaporkan ditangkap.

Kerakusan manusia tidak kurang menjadi punca Aidilfitri bertukar tragedi.

Sambutan Hari Raya pada 2013 di Afghanistan sudah tentunya menjadi sejarah ngeri apabila bom yang ditanam di kawasan perkuburan di pedalaman timur negara itu meletup dan mengorbankan 14 sekeluarga yang menziarahi kubur saudara mara mereka.

Lebih memilukan kerana tujuh mangsa ialah wanita manakala tujuh lagi kanak-kanak selain tiga anggota keluarga berkenaan lagi cedera.

SUASANA pilu menyelubungi keluarga mangsa bom Israel di Gaza yang mengorbankan sebahagian besar kanak-kanak.
SUASANA pilu menyelubungi keluarga mangsa bom Israel di Gaza yang mengorbankan sebahagian besar kanak-kanak.

Tangisan Gaza

Serangan itu turut dikutuk bekas Presiden Hamid Karzai yang menyifatkan ia adalah perbuatan musuh yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan agama.

Di Iraq pula pada tahun sama, lebih 60 maut dan hampir 300 lagi cedera dalam siri serangan bom.

Kebanyakan kematian dicatatkan di Baghdad, yang digegarkan dengan pengeboman kereta berhampiran pasar, kafe dan restoran.

Pengganas juga tidak mengira lokasi apabila melepaskan tembakan di luar masjid dalam serangan kedua di Quetta di Pakistan pada sambutan Aidilfitri 2013. Sembilan terbunuh dalam serangan yang dilancarkan selepas solat sunat itu.

Namun semua tragedi itu tidak dapat mengatasi beban yang ditanggung penduduk Gaza dalam menyambut apa juga perayaan.

Sambutan Aidilfitri pada 2014 menjadi saksi mereka menyambut dalam tangisan dan darah apabila Israel bertubi-tubi menyerang wilayah itu selama 21 hari yang menjadikan jumlah kematian di kalangan penduduk Palestin seramai 1,088 dan 6,470 lagi cedera.

Hari pertama Aidilfitri berakhir dengan lebih 40 maut, 15 daripada mereka ialah kanak-kanak.

ORANG awam memeriksa tempat kejadian letupan di pasar yang sibuk di Khan Bani Saad, Iraq.
ORANG awam memeriksa tempat kejadian letupan di pasar yang sibuk di Khan Bani Saad, Iraq.

INFO

Angka tragedi di Aidilfitri

  • 9 maut letupan di bandar Damaturu, Nigeria pada 2015.
  • 25 maut tragedi bot karam di pulau Sumatera, Indonesia pada 2014.
  • 40 maut akibat serangan rejim Zionis di Palestin pada 2014.
  • 18 maut bot karam di Borneo 18 pada 2014.
  • 6 maut dan puluhan cedera akibat tunjuk perasaan di Mesir.
  • 14 maut serangan bom di Afghanistan pada 2013.
  • 42 maut letupan bom luar masjid di Kabul pada 2012.
  • 60 maut dan 300 cedera serang bom di Iraq
Berita Harian X