Ahad, 26 Jun 2016 | 12:05am
SYAKIR Samsuri, Afif Arafat dan Ahmad Rabani Abdul Halim menyiapkan kotak menyimpan kasut yang ditempah mengikut permintaan pelanggan. - Foto Surianie Mohd Hanif
SYAKIR Samsuri, Afif Arafat dan Ahmad Rabani Abdul Halim menyiapkan kotak menyimpan kasut yang ditempah mengikut permintaan pelanggan. - Foto Surianie Mohd Hanif

Teruja apabila TMJ jadi pelanggan

(DARI kiri) Syakir Samsuri, Afif Arafat dan Ahmad Rabani Abdul Halim bergambar bersama kotak menyimpan kasut yang dihasilkan oleh mereka. - Foto Surianie Mohd Hanif
(DARI kiri) Syakir Samsuri, Afif Arafat dan Ahmad Rabani Abdul Halim bergambar bersama kotak menyimpan kasut yang dihasilkan oleh mereka. - Foto Surianie Mohd Hanif

PADA peringkat permulaan ramai tidak yakin dengan kemampuan mereka menghasilkan kerja tangan yang besar dan rumit.

Ini ditambah pula lima anak muda ini tidak mempunyai kepakaran atau pengalaman sebagai tukang kayu atau pelajar seni bina halus.

Namun bersama keazaman dan semangat ingin belajar menyebabkan mereka sentiasa memperbaiki mutu dan teknik dalam kerja tangan selain tidak malu bertanya dan belajar dengan mereka yang lebih berpengalaman.

Kebanyakan pelanggan terdiri daripada pemain bola sepak seperti Indra Putra Mahayuddin dan Mahali Jasuli selain selebriti seperti Afdlin Shauki dan Allahyarham Yus Jambu.

"Paling tidak sangka dan pencapaian terhebat kami adalah apabila mendapat tempahan dari Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Pada mulanya tidak sangka dan ingat ada yang main-main.

ANTARA rekaan kotak kasut yang dihasilkan oleh Karky Kayu. - Foto Surianie Mohd Hanif
ANTARA rekaan kotak kasut yang dihasilkan oleh Karky Kayu. - Foto Surianie Mohd Hanif

"Tapi apabila sudah siap dan dihantar, kami terkejut Tunku Ismail berselfie berlatar belakangkan kotak kasut gergasi kami. Perasaan masa itu memang rasa tidak percaya dan pada masa yang sama bangga," kata Afif Arafat.

Afif atau Muhammad Afif Arafat Ramli, 32 adalah antara lima rakan kongsi yang sama-sama mereka, membuat dan menyiapkan tempahan kotak menyimpan kasut menerusi tempahan khas.

Kewujudan syarikat membuat kotak kasut daripada kayu itu bukan saja menjadi pendapatan tetapi turut merapatkan lagi persahabatan mereka.

Tambahan pula hampir setiap kali ada masa terluang mereka sering bermain bola sepak bersama.

Selain Afif Arafat, turut bersama ialah adiknya, Muhammad Arif Arafat, 25, dan tiga sahabat mereka, Syakir Samsuri, 32, Ahmad Rabani Abdul Halim, 32 dan Rheizan Azen, 30, bukan saja mempunyai minat yang sama tetapi juga sanggup berkongsi modal perniagaan.

Syarikat mereka dinamakan Karky Kayu Enterprise dengan memberi tumpuan untuk menghasilkan produk unik iaitu kotak kasut gergasi.

Bermula di depan rumah

ANTARA mesin yang digunakan untuk menghasilkan kotak menyimpan kasut. - Foto Surianie Mohd Hanif
ANTARA mesin yang digunakan untuk menghasilkan kotak menyimpan kasut. - Foto Surianie Mohd Hanif

Afif Arafat, disebabkan minat dalam sukan bola sepak dan sentiasa mengikuti perkembangan pemain bola antarabangsa dan tempatan membuatkan mereka terfikir untuk menghasilkan kotak kasut gergasi.

Kebanyakan pemain bola mempunyai hobi sama iaitu mengumpul kasut (but bola) tetapi mereka memiliki pelbagai jenis dan jenama menyebabkan kesukaran untuk menyimpannya.

"Idea buat kotak besar itu timbul bila lihat kasut pemain bola ini banyak.

"Semua berminat dan teruja sebab pada mulanya nak hasilkan untuk pemain bola yang menjadi idola kami. Tidak sangka kotak kasut gergasi kami menjadi viral dan mula dikenali sehingga ada yang membuat tempahan untuk mereka," katanya.

Pada peringkat awal Karky Kayu Enterprise menghadapi kesukaran mencari bahan yang hendak digunakan, membuat rekaan serta saiz yang sesuai.

"Kami mula dari rumah, buka bengkel kecil depan rumah dan buat pun selepas kami habis kerja atau main bola. Peralatan pun beli sikit demi sikit dan selepas mula mendapat permintaan kami mula mencari bengkel yang sesuai.

"Kini boleh dikatakan setiap hari kami hasilkan kotak kasut gergasi ini walaupun kami hasilkan kotak kasut berdasarkan permintaan.

"Pelanggan ada idea dan rekaan tersendiri yang mereka mahukan, jadi kami lebih suka hasilkan berdasarkan permintaan," kata Afif.

Info

AFIF Arafat bergambar bersama kotak menyimpan kasut yang dihasilkan oleh Karky Kayu. - Foto Surianie Mohd Hanif
AFIF Arafat bergambar bersama kotak menyimpan kasut yang dihasilkan oleh Karky Kayu. - Foto Surianie Mohd Hanif

* Karky Kayu Enterprise ditubuhkan dengan modal hasil perkongsian lima sahabat

* Hasil keuntungan pada tahun pertama digunakan sebagai modal membeli peralatan dan kos sewa bengkel

* Saiz kotak bergantung kepada tempahan pelanggan

* Hanya dua hari diperlukan bagi menghasilkan satu rak kotak kasut ini

* Selain kotak kasut gergasi, mereka turut menghasilkan produk lain berasaskan kayu

* Sedang dalam proses menyiapkan beberapa produk unik yang lain

* Mampu menghasilkan satu kotak kasut gergasi dalam masa dua hari

* Kotak kasut gergasi mempunyai beberapa jenis saiz

* Pelanggan boleh memilih rekaan grafik pilihan mereka untuk kotak kasut

* Menggunakan nama kotakkasut.malaysia untuk laman sosial mereka

Berita Harian X