Ahad, 29 Mei 2016 | 12:02am
Menara Condong Pisa.
Menara Condong Pisa.

Ikon bandar Teluk Intan

Menara Condong Teluk Intan.
Menara Condong Teluk Intan.

Kewujudan Menara Condong mempopularkan Teluk Intan, sehingga ia menjadi identiti bandar ketiga terbesar di Perak ini, selepas Ipoh dan Taiping.

Banyak catatan juga yang menyamakan menara condong istimewa ini dengan Menara Condong Pisa di Itali.

Menara Condong Teluk Intan diiktiraf oleh Jabatan Warisan Negara sebagai warisan kebangsaan.

Berdasarkan catatan, Menara Condong Teluk Intan dibina oleh arkitek berbangsa Cina, Leong Choon Cheong yang berfungsi sebagai tangki simpanan air untuk bekalan penduduk tempatan pada musim kemarau selain berperanan sebagai penunjuk waktu atau time keeper apabila ia dilengkapi jam besar.

Wang derma daripada penduduk tempatan digunakan untuk membeli jam berkunci dari London buatan firma JW Benson - Ludgatehill.

Mudahkan pengurusan air

Sekalipun berusia lebih 100 tahun, menara berkenaan masih berdiri kukuh hingga hari ini.

Ketika pemerintahan Jepun, menara jam ini digunakan oleh askar Jepun sebagai menara kawalan.

Menurut satu kajian, tujuan lain pembinaan menara ini atau dikenali sebagai jam tinggi antaranya ialah memastikan kemudahan pengurusan air British dipertingkatkan sebagai bekalan tambahan sekiranya berlaku kebakaran, selain memperingati jasa pentadbir British ketika itu.

Menara ini juga pernah digunakan oleh Persatuan Pengakap Teluk Intan pada tahun 1940 dan Lembaga Perancang Keluarga Negara (1977 hingga 1992).

Pengaruh seni bina China sangat kuat terhadap pembinaan menara jam ini apabila ia menampilkan konsep sebuah pagoda.

Dari luar kelihatan seolah-olah menara jam ini seperti bangunan lapan tingkat, tetapi sebenarnya hanya terdapat tiga tingkat saja yang diperbuat daripada struktur kayu dan batu.

Bebanan tangki air punca condong

Menara jam ini dibangunkan di atas struktur tanah yang lembut.

Bebanan berat tangki air menyebabkan lama-kelamaan menara ini menjadi condong. Bagaimanapun, ada yang mendakwa, pernah berlaku banjir besar di Teluk Intan sehingga tapak menara ini tenggelam. Banjir yang berlaku dengan bebanan tangki air yang berat dipercayai punca menara ini mula condong.

Hari ini Menara Condong Teluk Intan tidak lagi berperanan sebagai tangki simpanan air, namun jam besarnya masih lagi berfungsi. Justeru, produk pelancongan di Teluk Intan ini mampu menggamit kehadiran pelancong asing mahupun domestik kerana ia memiliki nilai sejarah dan warisannya yang tinggi.

  • Info: Perbandingan Menara Condong Teluk Intan dan Menara Condong Pisa
  • 25 - ketinggian Menara Condong Teluk Intan

  • 55.86m - ketinggian Menara Condong Pisa

  • 110 - anak tangga Menara Condong Teluk Intan

  • 294 - anak tangga Menara Condong Pisa

  • Kecondongan
  • - Menara Condong Teluk Intan condong ke arah barat laut

  • - Menara Condong Pisa condong ke arah barat daya

  • - 1885 tahun menara dibina

  • - 1894 tahun jam dipasang

  • - 1895 tahun berlaku banjir besar di Teluk Intan
Berita Harian X