Selasa, 22 March 2016 | 12:03am
REDZA tersenarai dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH. NSTP/MUNIRA ABDUL GHANI
REDZA tersenarai dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH. NSTP/MUNIRA ABDUL GHANI
BERMULA sebagai pelakon tambahan sejak berusia 16 tahun, Redza kini mula mendapat watak utama. NSTP/Adi Safri
BERMULA sebagai pelakon tambahan sejak berusia 16 tahun, Redza kini mula mendapat watak utama. NSTP/Adi Safri

Redza mahu elak gosip cinta



MENYEDARI bukan mudah untuk seseorang pelakon bertapak kukuh dalam arena seni, ia membuatkan anak muda bernama Redza Rosli ini cukup berhati-hati dalam membina kerjayanya dalam bidang itu.

Seboleh mungkin jejaka berusia 24 tahun ini enggan dipalit sebarang kontroversi mahupun gosip liar. Pelakon muda yang sedang meningkat naik namanya ini enggan menyaksikan segala usaha dicurahkan sia-sia hanya kerana cerita panas yang mampu mencalar imej dan maruah diri.

Justeru, beliau sedaya mungkin cuba mengelak daripada memperkatakan mengenai gosip cinta antara dirinya dengan Izreen Azminda, seperti yang tersebar beberapa bulan lalu. Khabar angin mengaitkan mereka menjelma apabila kedua-duanya berlakon bersama dalam drama Kak Marr.

Kata bakat kelahiran Subang Jaya, Selangor, yang juga calon awal Anugerah Bintang Popular BH dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular ini, beliau sebaliknya harus memberikan tumpuan kepada membina kerjaya sebagai pelakon, apatah lagi sudah bertahun-tahun dirinya cuba memahat nama di persada seni. Namun, hanya sejak kebelakangan ini kewujudannya mula disedari.

"Jika diikutkan, saya sudah berlakon sejak usia 16 tahun lagi. Bagaimanapun ketika itu saya seperti masih mencari-cari hala tuju. Tambahan pula, saya jenis orang yang pemalu.

REDZA cukup berhati-hati dalam membina kerjaya sebagai pelakon. - Foto Munira Abdul Ghani
REDZA cukup berhati-hati dalam membina kerjaya sebagai pelakon. - Foto Munira Abdul Ghani

"Saya pernah menjadi pelakon tambahan, yang beraksi tanpa dialog, sejak zaman sekolah menengah lagi. Dalam dua tahun juga saya menjadi pelakon tambahan. Masa sama, saya turut memberikan fokus kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Selepas tamat SPM, saya mengambil bidang rekaan dalaman di sebuah kolej tetapi tidak menghabiskan pengajian. Kini selepas dua tahun, saya kembali ke dunia lakonan.

"Sejujurnya, kerjaya lakonan banyak meningkatkan keyakinan diri saya, sekali gus membuang sikap malu dalam diri. Saya juga boleh dikatakan bergelut dalam hidup, tetapi dengan peluang yang diraih ketika ini, termasuk diberi kepercayaan sebagai pelakon utama, saya tidak mahu mempersia-siakannya lagi," kata Redza yang pernah melakukan pelbagai kerja untuk mencari rezeki termasuk katering, cuci kereta dan jurujual sebelum ini.

Ketika ini, Redza berkata, tumpuannya hanyalah kepada dunia seni. Malah, beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk terbabit dalam bidang rekaan dalaman, iaitu ilmu yang pernah dipelajarinya sebelum ini. Begitu juga Redza tidak mahu terbabit dalam perniagaan buat waktu ini, seperti dilakukan ramai pelakon lain.

"Tumpuan saya memang kepada dunia lakonan secara sepenuh masa. Sekalipun terpaksa bergelut, saya berpuas hati dengan apa yang dimiliki kini. Semuanya atas hasil titik peluh sendiri.

SEDAYA upaya Redza cuba mengelak daripada memperkatakan gosip cinta antara dirinya dengan Izreen Azminda. NSTP/Adi Safri
SEDAYA upaya Redza cuba mengelak daripada memperkatakan gosip cinta antara dirinya dengan Izreen Azminda. NSTP/Adi Safri

"Sedikit demi sedikit, saya lihat sudah ada pihak mula yang mempercayai dan menyedari bakat saya. Bagi saya, soal lama atau cepat untuk naik itu bukan isu utama. Apa yang penting adalah untuk terus memberikan kualiti lakonan terbaik.

"Saya sendiri pun tidak mempunyai asas kukuh dalam dunia lakonan, selain pernah menyertai kursus lakonan dianjurkan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan bengkel teater kelolaan Fauziah Nawi. Bagi saya, setiap hari yang dilalui menjadi ruang terbaik untuk menimba ilmu," katanya yang julung kali diberi watak utama menerusi telefilem, Hidup, bergandingan dengan Emma Maembong.

Melihat kebanjiran bakat baharu saat ini, yang disifatkan Redza sebagai sangat positif, beliau bagaimanapun tidak melihat dirinya bersaing sesama sendiri.

"Saya tidak pernah memikirkan soal saingan dengan sesiapa pun. Saya lebih suka untuk bersaing dengan diri sendiri, untuk mempamerkan lakonan yang baik setiap kali diberi kepercayaan oleh penerbit. Apa yang selalu bermain di fikiran setiap kali mendapat tawaran berlakon adalah keinginan untuk memberikan yang terbaik.

REDZA mahu dikenali peminat kerana bakat dalam bidang lakonan berbanding gosip. NSTP/Adi Safri
REDZA mahu dikenali peminat kerana bakat dalam bidang lakonan berbanding gosip. NSTP/Adi Safri

"Bagi saya, apalah sangat hendak bersaing pun kerana kebanyakan pelakon lelaki lain kawan saya sendiri. Cuma, masing-masing akan berjuang secara sendiri untuk membuktikan bakat yang dimiliki.

"Saya sendiri tidak pernah berpuas hati dengan mutu lakonan yang saya persembahkan. Sekalipun ada yang memuji, ia bukan alasan untuk saya mendabik dada dan lupa diri," katanya yang mengagumi lakonan Zamarul Hisham, Remy Ishak dan Beto Kusyairi.

Tidak hanya selesa dengan lakonan serius, Redza juga mencabar diri dengan berlakon drama komedi.

"Apabila mendapat tawaran berlakon dengan bintang berpengalaman seperti Rozita Che Wan dalam drama komedi, Kak Marr, memang saya gementar. Tambahan pula saya memegang watak duda. Namun, ia tetap pengalaman yang menyeronokkan. Saya berusaha untuk menonjolkan sisi lawak yang ada dalam diri," katanya

Ketika ini Redza masih melunaskan baki penggambaran drama, Seindah Takdir Cinta, untuk slot Akasia TV3. Bakal menamatkan penggambaran April depan, ia dijangka menemui penonton pada musim Ramadan nanti. Drama itu turut dibintangi Amyra Rosli, Saharul Ridzwan dan Ifa Raziah.

Berita Harian X