Rabu, 9 March 2016 | 12:14am
JANJIKU ialah luahan diri Hafiz terhadap gambaran perkahwinan yang diharapkan. - Foto Nik Hariff Hassan
JANJIKU ialah luahan diri Hafiz terhadap gambaran perkahwinan yang diharapkan. - Foto Nik Hariff Hassan
HAFIZ tidak menyangka kata-kata motivasi, Islamik dan madah indah yang dikongsi di laman sosial mendapat perhatian ramai. - Foto Aziah Azmee
HAFIZ tidak menyangka kata-kata motivasi, Islamik dan madah indah yang dikongsi di laman sosial mendapat perhatian ramai. - Foto Aziah Azmee
HAFIZ ketika menghadiri majlis ulangtahun ke-10 bersama Arteffects baru-baru ini. NSTP/ROHANIS SHUKRI.
HAFIZ ketika menghadiri majlis ulangtahun ke-10 bersama Arteffects baru-baru ini. NSTP/ROHANIS SHUKRI.

Hafiz Hamidun cuba 'pikat' Mira Filzah


SEBELUM ini, penyanyi nasyid kontemporari, Hafiz Hamidun, 32, pernah mendedahkan dirinya ketika ini sedang menunggu waktu untuk mengakhiri zaman bujang bersama model busana Muslimah, Adiela Ridzuan.

Justeru, apabila tiba-tiba penyanyi lelaki itu mengaku ketika ini sedang menunggu bakat baharu yang meletup dengan drama Cinta Si Wedding Planner, Mira Filzah, 24, apa sudah jadi kepada perancangannya menaiki pelamin pada tahun ini bersama gadis berkenaan?

Begitupun, peminat usahlah cepat panik kerana artis yang juga popular dengan album Zikir Terapi itu bukanlah sabar menunggu Mira untuk dijadikan kekasih atau bakal isterinya. Sebaliknya beliau hanya mahu Mira menjadi gandingan dalam video muzik single terbaharunya, Janjiku, yang juga akan dihasilkan sebagai filem pendek.

HAFIZ berhasrat menjadikan Mira teman gandingan dalam video muzik single terbaharunya, Janjiku. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman
HAFIZ berhasrat menjadikan Mira teman gandingan dalam video muzik single terbaharunya, Janjiku. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

Sebagai sebahagian daripada usaha promosi karya ciptaan Azlan Abu Hassan dan lirik tulisannya sendiri itu, Hafiz merancang untuk menghasilkan klip video bagi lagu pop berkenaan, dengan menampilkan Mira sebagai penyeri.

"Saya sudah pun bertanya kepada Mira mengenai perkara ini dan kini hanya menunggu pengesahan daripadanya. Cuma ketika ini, memang beliau sibuk menjalani penggambaran. Kalau diizinkan, memang saya ingin merakamkan filem pendek menampilkan Mira ini secepat mungkin," kata Hafiz ketika ditemui BH, baru-baru ini.

Menyorot kembali cerita Hafiz dan Mira, mereka sebenarnya pernah bergandingan dalam sebuah projek khas yang diadakan sempena penerbitan single Jodoh Berdua, juga ciptaan Azlan, beberapa tahun lalu. Dalam video terbabit (bukan klip rasmi lagu berkenaan), Mira diundang sebagai modelnya.

"Kami sudah pernah bergandingan sebelum ini, jadi saya rasa keserasian sudah ada antara kami jika beliau bersetuju untuk tampil sebagai model bagi klip video lagu Janjiku.

PELAKON baharu yang meletup dengan drama Cinta Si Wedding Planner, Mira Filzah. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman
PELAKON baharu yang meletup dengan drama Cinta Si Wedding Planner, Mira Filzah. - Foto Halimaton Saadiah bte Sulaiman

"Ketika itu, saya baru saja kenal Mira. Dirinya pun belum lagi popular waktu itu. Siapa sangka, sekarang namanya sudah begitu dikenali ramai. Ikutkan memang saya ingin berhabis-habisan mempromosikan single Janjiku, mulai bulan ini," kata Hafiz sambil memberitahu, Janjiku ialah luahan dirinya terhadap gambaran perkahwinan yang diharapkan.

Selain lagu Janjiku, Hafiz juga melangkah setapak ke depan apabila melancarkan buku tulisannya berjudul Cerita Hati, baru-baru ini.

Buku setebal 310 muka surat itu memuatkan lebih 300 status yang pernah dimuat naik di laman sosial Facebook (FB) dan Twitter, sejak 2012 hingga hujung 2015, berkaitan pengalaman hidupnya.

Menurut Hafiz, beliau sendiri tidak pernah merancang untuk menghasilkan buku seumpama itu, sebelum ini.

"Jika diikutkan, sejak tahun lalu lagi saya didekati beberapa syarikat penerbitan untuk menerbitkan buku saya. Bagaimanapun ketika itu saya belum tergerak ke arah itu.

"Namun, apabila ada tawaran daripada syarikat penerbitan bebas, Nubook Press, saya tiba-tiba terpikat dengan konsep mereka yang santai dan berasakan inilah pasaran yang saya mahu terokai.

HAFIZ juga melangkah setapak ke depan apabila melancarkan buku tulisannya berjudul Cerita Hati. - Foto Aziah Azmee
HAFIZ juga melangkah setapak ke depan apabila melancarkan buku tulisannya berjudul Cerita Hati. - Foto Aziah Azmee

"Sejujurnya saya tidak tahu macam mana hendak mengkategorikan buku ini. Hendak dikata sebagai buku agama pun tidak juga tetapi saya menganggapnya sebagai bacaan ringan dan santai. Sekurang-kurangnya, ada juga buku daripada saya sebagai tambahan dan barangan untuk penggemar Hafiz Hamidun," katanya yang menjalinkan kerjasama bersama syarikat penerbitan itu sejak sebulan lalu.

Jelas Hafiz lagi, selama ini beliau memuat naik kata-kata motivasi, Islamik dan madah indah menerusi laman Twitter dan Facebook miliknya bukan kerana mahu menjadi glamor, tetapi sekadar berkongsi apa yang terlintas di hati.

"Cuma, saya tidak menyangka setiap kali saya menulis kata-kata sebegitu, ada pula yang sudi berkongsi hingga menjadi viral. Ada kata-kata yang saya nukilkan mendapat 300,000 'like' di laman sosial. Tidak kurang juga yang berkongsi di laman Facebook hingga mencecah lebih 100,000 kali. Memang saya tak sangka ia akan mendapat perhatian sejauh itu.

"Jadi, diharapkan kata-kata yang dikumpul ini menjadi hadiah hati saya untuk mereka yang menggemarinya," katanya.

Terlanjur berbicara mengenai soal hati, tidak sah rasanya andai kisah cinta Hafiz sendiri tidak ditanyakan sama.

HAFIZ Hamidun setia menunggu waktu untuk mengakhiri zaman bujang bersama model busana Muslimah, Adiela Ridzuan.
HAFIZ Hamidun setia menunggu waktu untuk mengakhiri zaman bujang bersama model busana Muslimah, Adiela Ridzuan.

"Saya sedar, ramai yang tahu saya sedang berkawan dengan seorang gadis. Insya-Allah, kita mengharapkan penamat yang baik. Cuma rasanya terlalu awal untuk saya bercakap fasal kahwin. Kami masih pada peringkat berkenalan.

"Beliau sendiri mahu kami saling mengenali dulu. Bagaimanapun jika ditanya pada pihak saya sendiri, memang saya ingin mengajaknya untuk terus kahwin. Apapun, saya hormati pandangan dirinya dan keluarga.

"Saya tulus menantikan masa yang terbaik untuk kami. Sekarang ini saya amat bahagia dan gembira kerana ada orang sudi menerima diri ini dan kesibukan saya. Sejujurnya saya sudah bersedia untuk sesuatu yang serius pada masa depan. Insya-Allah," katanya.

Berita Harian X