Ahad, 23 Ogos 2015 | 12:04am
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (kanan) bersalaman dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto BERNAMA
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (kanan) bersalaman dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. - Foto BERNAMA
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (tengah) bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri) pada sesi pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk itu di Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi
PRESIDEN Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (tengah) bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri) pada sesi pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk itu di Kuala Lumpur. - Foto Hafiz Sohaimi
SESI pemilihan jawatankuasa tertinggi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
SESI pemilihan jawatankuasa tertinggi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

'Saya janji buat yang terbaik'

TEKA-TEKI mengenai siapa akan memimpin Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah terlerai apabila penyandang sebelum ini, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar sekali lagi terpilih untuk mengetuai badan induk itu untuk tempoh dua tahun lagi.

Dalam saingan disifatkan paling mencabar sepanjang tempoh 17 tahun memegang jawatan berkenaan, Tunku Imran masih mampu diberikan mandat oleh sebahagian besar daripada 104 perwakilan yang hadir bagi mewakili 35 persatuan sukan kebangsaan.

Tanpa manifesto atau 'rakan' dalam pasukan - hanya sekadar janji untuk terus berbakti, Tunku Imran menerima 63 undi berbanding 41 diterima lawannya, Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Tuanku Imran turut menyeru perwakilan dalam MOM supaya kembali bersatu seterusnya mencipta kejayaan terutama bagi menghadapi Sukan SEA di laman sendiri dalam tempoh dua tahun lagi sejurus selepas diumumkan selaku pemenang.

PENCABAR bagi jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor. - Foto BERNAMA
PENCABAR bagi jawatan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Senator Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor. - Foto BERNAMA

Justeru, wartawan BH Sukan, Azidan Nahar dan Naqib Nor Said mendapatkan Tunku Imran yang juga Presiden Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) bagi mengetahui perasaan, pandangan serta perancangannya bagi tempoh dua tahun akan datang.

Soalan (S): Apa perasaan Tan Sri selepas kembali dipilih menerajui MOM?

Jawapan (J): Saya bersyukur, Alhamdulillah saya kembali dipilih, seperti yang saya katakan sebelum ini, pemilihan kali ini adalah yang terakhir buat saya.

Saya gembira memiliki gabungan yang bagus dalam MOM untuk kembali bekerjasama bagi tempoh dua tahun akan datang, marilah kita kembali bekerjasama untuk penyatuan dalam sukan.

S: Apakah pemilihan kali ini dilihat paling sengit dalam tempoh 17 tahun Tan Sri mengepalai MOM?

J: Memang ia pemilihan yang sengit tetapi selepas kemenangan ini apa yang saya mahu lihat ialah kita benar-benar bersatu, banyak acara yang akan kita sertai termasuk Sukan SEA 2017, itu yang saya mahukan.

Saya sudah katakan dan saya sudah berjanji sebelum ini bahawa saya tidak mahu menjadi Presiden MOM pada usia mencecah 70 tahun, saya melihat ramai golongan muda yang tampil, saya gembira, ada antara mereka yang sudah boleh menjadi pengganti saya.

S: Bagaimana dengan kewujudan Team B pada pemilihan kali ini?

J: Saya tidak pernah berfikir bahawa wujudnya pasukan pada pemilihan kali ini. Ini (pemilihan) adalah berkaitan individu, saya harap individu yang dipilih ini akan bersatu menjadi sebuah pasukan.

Jangan jadikan ia satu agenda pasukan, ia bukan sukan sebaliknya politik. Saya tidak mahu melihat ada manifesto berkaitan wang sebalik pemilihan dibuat berdasarkan rekod baik dan bukan berkaitan wang.

Saya sebenarnya terkejut kerana ada yang tampil dengan satu pasukan dan manifesto tersendiri, kerana itu kami semua mesti bekerja keras untuk mendapatkan undi.

Begitupun saya gembira kesudahan pemilihan kali ini, gabungan golongan muda dan berpengalaman yang akan bekerja keras serta penuh integriti, itu yang penting dalam sukan - tiada ruang buat politik dan wang.

TAN Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (tengah) bersama barisan pemimpin tertinggi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang baharu. - Foto BERNAMA
TAN Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar (tengah) bersama barisan pemimpin tertinggi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang baharu. - Foto BERNAMA

S: Apakah janji yang boleh diberikan Tan Sri selepas menang buat kali terakhir ini?

J: Saya rasa sangat gembira apabila kembali dipilih, saya rasa saya boleh kembali bekerjasama dengan barisan yang dipilih untuk kebaikan MOM.

Jika kita lihat kembali, tiada janji yang saya berikan sebelum (pemilihan) ini, saya hanya buat yang terbaik.

S: Apa pandangan Tan Sri mengenai barisan kepimpinan baharu ini?

J: Barisan baharu ini saya rasakan mewakili gabungan antara yang lama serta muka baru yang masih muda dan saya akan melihat kekuatan mereka sebelum memberikan tugas yang sesuai. Saya tidak sabar meneruskan kerja dengan barisan baharu dibentuk ini.

S: Pemilihan ini juga penting buat Tan Sri kerana ia turut membabitkan keahlian dalam CGF serta Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) yang meletakkan Tan Sri dalam bahaya sekiranya tewas?

J: Ia benar tetapi saya tidak mahu memperbesarkan perkara ini. Saya tahu ramai yang tahu (mengenai perkara itu), ada juga sebahagian lawan pada pemilihan kali ini yang tahu.

Saya tidak mahu bertanding dan mendapat kelebihan kerana simpati, sebaliknya bersandar kepada kredibiliti saya.

S: Mengenai penggantungan Datuk Danyal Balagopal dalam Majlis Olimpik Asia (OCA), apa langkah MOM seterusnya?

J: Minggu depan saya ada pemilihan pada AGM CGF di Auckland, New Zealand dengan saya akan dicabar setiausaha agung saya sendiri dan selepas itu ada mesyuarat OCA di Turkmenistan.

Di sana kami akan bincangkan. Namun perkara utama ialah bekerjasama dalam MOM untuk melantik penyandang baharu mengikut portfolio masing-masing, kami perlu terus melakukan kerja.

Berita Harian X