Khamis, 13 Ogos 2015 | 12:06am

FBI tak akan patah balik

DENGAN berbekalkan modal kira-kira RM50,000, bekas penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail memulakan perniagaan dengan menubuhkan syarikat pengurusan acara iaitu FBI Entertainment Sdn Bhd.

Berani mengambil risiko, Faizal kini boleh berbangga dengan keupayaan syarikatnya untuk terus berkembang.

"Jika dahulu saya hanya makan gaji tetapi kini segala-galanya bergantung kepada diri sendiri. Setiap percaturan sama ada menguntungkan atau merugikan akan ditanggung sendiri.

"Malah selepas menjalankan perniagaan sendiri dan bertindak sebagai majikan, hubungan kita dengan mereka yang memberi rezeki yakni pelanggan atau klien (yang menggunakan khidmat syarikat) nampak lebih dekat dan telus.

"Saya sudah tidak melalui perantara dan pendek kata dari A to Z semua kita tentukan. Ia jelas nampak saling kebergantungan di situ di antara syarikat saya dan pelanggan berpotensi. Pada masa yang sama hubungan baik itu terus dijaga," katanya.

FAIZAL Ismail. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
FAIZAL Ismail. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Bagi Faizal, dia tidak mahu lagi pandang ke belakang, sebaliknya mencuri apa saja kesempatan yang ada untuk mengembangkan prospek lain, termasuk dalam dunia perniagaan.

Dia mengakui masih 'hijau' (baharu) dalam dunia terbabit, namun kini sedang belajar selok-belok pelbagai cabang yang boleh diterokai.

Selain menerbitkan program televisyen, syarikatnya juga mengurus atau menganjurkan perjalanan sesuatu majlis.

Bapa kepada tiga anak ini tidak lagi melihat soal glamor dan populariti dalam dunia hiburan sebagai keutamaannya sekarang.

Malah lebih utama, keputusan yang dibuat itu bertujuan mengimbangi kehidupan peribadinya sebagai bapa kepada Nur Khairina Iman, 14; Muhamad Khalish Iman, tiga tahun dan Khayla Nur Iman, dua tahun serta isteri, Nor Azlina Ahmad Din, yang dikahwininya pada 4 0gos 2001.

FAIZAL Ismail bersama isteri dan anak-anaknya.
FAIZAL Ismail bersama isteri dan anak-anaknya.

Sesibuk manapun Faizal dengan rencana sendiri kini, beliau akan pastikan soal keluarga tidak terabai.

Lebih penting ruang untuk dirinya juga lebih banyak. Pada masa yang sama, Faizal juga dapat merealisasikan apa yang diimpikan, termasuk meneroka pasaran baharu dalam dunia perniagaan, termasuk dalam industri seni dan showbiz.

Apa yang lebih penting, kehidupannya lebih teratur, baik dalam soal kerja mahu pun keluarga.

"Paling membahagiakan saya kini ialah masa bersama keluarga itu sangat berkualiti. Saya cuba menjalankan tanggungjawab sebagai suami dan bapa sebaik mungkin.

"Nikmat kehidupan yang saya sedang lalui sekarang amat indah dan cukup tak ternilai. Ia tak boleh digambarkan tetapi saya amat bersyukur dengan keputusan meninggalkan dunia radio. Saya takkan berpaling ke belakang lagi.

FAIZAL Ismail mengacarakan program Projek Komedi Warna pada peringkat akhir di Studio Pinewood, Iskandar Malaysia, Nusajaya, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin
FAIZAL Ismail mengacarakan program Projek Komedi Warna pada peringkat akhir di Studio Pinewood, Iskandar Malaysia, Nusajaya, Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

"Saya boleh menghantar dan mengambil anak di sekolah. Saya juga berpeluang menikmati masakan yang dimasak isteri. Masa cuti sekolah anak pun saya boleh rancang percutian dengan mereka ke destinasi yang diingini.

"Kalau dulu masa bekerja, anak cuti sekolah, saya tak boleh bercuti sekali. Kerja di radio dahulu, nak cuti sesuka hati bukan boleh. Sekarang tidak lagi, saya boleh atur masa sebaik mungkin," katanya.

Mengimbas kembali, Faizal menyifatkan bekerja di konti radio hampir lapan tahun dan bergelumang dengan dunia penyiaran sudah mematangkan dirinya.

Bekerja berjam-jam di konti ketika itu adalah segala-galanya bagi Faizal atau lebih dikenali sebagai FBI - sehingga membataskan waktu senggang sendiri serta masa untuk bersama keluarga.

"Bayangkan dulu sewaktu bekerja di konti radio, pukul lima pagi saya sudah keluar rumah dan selepas selesai kerja radio, saya perlu pula buat kerja pengacaraan.

"Kadang-kadang kerja itu berlanjutan hingga ke malam. Balik waktu malam pula, anak saya sudah tidur. Hujung minggu pun ada hal radio yang memerlukan komitmen saya seperti Jom Heboh dan karnival," katanya ketika ditemui BH Plus.

Tetapi itu pilihan jejaka berkepala botak ini selepas lapan tahun melakukan apa yang dicintainya sejak sekian lama, beliau akhirnya bertukar arah.

FAIZAL Ismail pada sidang media Anugerah Lawak Warna di Le Meridien Hotel, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali
FAIZAL Ismail pada sidang media Anugerah Lawak Warna di Le Meridien Hotel, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

Malah dalam tempoh itu, tidak dinafikan stesen radio Hot FM dan TV naungan Media Prima Berhad antara yang terus membuatkan jenama dan pengaruh lelaki yang mencipta nama sebagai pengacara ini melonjak naik.

Enam tahun berturut-turut menggenggam trofi Penyampai Radio Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), Faizal sebenarnya sudah puas dengan apa yang dikecapinya.

Kini sejak hampir dua tahun memilih untuk meninggalkan stesen Hot FM dan tekad untuk bergerak sendiri, Faizal tidak ralat atau jauh sekali menyesali keputusan berkenaan di saat namanya sedang berada di puncak.

"Tapi semua itu tak kisah dan rutin lama yang saya sudah tinggalkan. Sekarang ini, pada hari bekerja, saya akan lapang kerana tak banyak komitmen atau acara yang perlu pembabitan saya dan syarikat pengurusan acara (FBI Entertainment Sdn Bhd ).

"Kebiasaannya, hari hujung minggu saya akan sibuk. Rutin saya memang macam terbalik sedikit dengan mereka yang bekerja dari Isnin hingga Khamis," katanya.

Pada masa sama, tugas mengacara majlis dan sesuatu program masih diteruskan.

PELAKON, Scha Alyahya dan (kiri) hos, Faizal Ismail semasa Program Yakult dan Scha Alyahya pada majlis berbuka puasa bersama ibu tunggal di Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya. - Foto Shiraz Ali
PELAKON, Scha Alyahya dan (kiri) hos, Faizal Ismail semasa Program Yakult dan Scha Alyahya pada majlis berbuka puasa bersama ibu tunggal di Royale Chulan Damansara, Petaling Jaya. - Foto Shiraz Ali

Tidak terikat dengan mana-mana pihak, Faizal kini bebas melakukan kerja pengacaraan dengan mana-mana stesen televisyen. Walaupun gembira dengan kehidupannya kini, Faizal sesekali mengakui cukup merindui suasana di konti radio.

"Tetapi, ini tak bermakna saya akan balik ke dunia berkenaan lagi. Saya sudah tak boleh buat kerja rutin seperti dahulu lagi kerana kerja sebegitulah yang menghalang saya bergerak ke hadapan.

"Saya selesa cara sekarang tetapi jika ada jemputan untuk memeriahkan konti radio sebagai penyampai radio sehari dua... saya boleh pertimbangkan," katanya.

Hakikatnya, dunia radio yang melonjakkan populariti Faizal. Tetapi kini selepas tidak lagi mengendalikan radio, pastinya nama Faizal tidak lagi dicalonkan untuk anugerah berkaitan.

"Jelas memang saya tak akan dicalonkan lagi dalam kategori radio. Mungkin nama hanya akan dicalonkan untuk kategori TV. Tapi soal penghargaan itu bukan matlamat saya lagi. Saya sudah melalui zaman kemenangan sebagai penyampai radio. Kategori TV pun saya tercalon dahulu tetapi tak pernah menang pun.

FAIZAL menjadi pengacara pada Anugerah Skrin 2013 bersama Nad Zainal dan Awal Ashaari (kanan). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
FAIZAL menjadi pengacara pada Anugerah Skrin 2013 bersama Nad Zainal dan Awal Ashaari (kanan). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

"Saya memang tak berharap untuk dicalonkan atau menang dalam kategori pengacaraan TV lagi. Saya hanya mahu mengekalkan momentum sedia ada sebagai hos dan masa yang sama terus mengukuhkan dunia perniagaan yang diceburi," katanya.

Ketika ini juga Faizal memikul mandat sebagai hos Akademi Fantasia 2015 bersama Zizan Razak.

Mereka sekali lagi diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab sama manakala peserta Akademi Fantasia musim pertama, Nana Mahazan mengendalikan Diari AF 2015.

"Tahun lalu, mengendalikan Akademi Fantasia bersama Zizan, tak saya nafikan terbit kebimbangan. Panik juga ketika ditawarkan mandat itu.

"Saya pula tak diumumkan sebagai hos dari peringkat awal sebaliknya hanya dilamar masuk pada konsert pertama. Ia dilihat sebagai gimik. Tanggungjawab itu pastinya memberi maklum balas positif dan negatif. Tapi saya tak terlalu memikirkan tanggapan orang.

"Saya hanya tumpu kepada tugas untuk menyelesaikan mandat yang diberi sebaik mungkin. Bergandingan dengan Zizan, tak saya nafikan dia banyak membantu saya.

"Dia seorang pelawak yang dikenali dan kita tahu dia ada unsur komedi yang banyak. Saya pula lebih ke arah serius dan santai. Namun, pada masa yang sama kami perlu mengimbangi karakter diri yang ada untuk tampilkan sisi emosi yang tinggi.

"Kami tak perlu serius dan lawak sentiasa. Saya berpendapat pihak Astro mengambil kami sebagai hos AF2015 kerana masing-masing dapat memberikan keseimbangan. Insya-Allah peluang kedua ini akan saya lakukan yang terbaik," katanya.

Info Faizal Ismail

  • Turut dikenali dengan nama FBI (singkatan Faizal Bin Ismail)
  • Dilahirkan pada 19 Mei 1976
Berita Harian X